Pembangunan di luar bandar memudahkan operasi bomba sukarela

0

PERSEDIAAN: Ooi Tong Seng, 46, (kanan) memberi penerangan kepada anggota lain memeriksa peralatan memadam api sebagai langkah persediaan untuk menjalankan operasi menyelamat dan memadam kebakaran ketika ditemui di Pekan Sungai Limau Dalam di Yan, semalam. — Gambar Bernama

YAN: Kemudahan infrastruktur asas di luar bandar amat diperlukan bagi membantu operasi memadam kebakaran dan menyelamat oleh bomba sukarela, kata ketua pasukan bomba sukarela Sungai Limau Dalam, Ooi Tong Seng.

Ooi, 46, berkata walaupun ada pihak memandang remeh pembinaan jalan di kawasan kampung, tetapi bagi mereka ia memberi makna yang besar dalam usaha memadam kebakaran dan menyelamat.

Ooi berkata pembangunan khususnya infrastruktur dan komunikasi telah banyak memudahkan operasi satu-satunya pasukan bomba sukarela di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sejak 1985, katanya kepada Bernama di sini semalam.

“Kalau dulu dalam tahun 1990-an, kita terpaksa mengangkut peralatan menyelamat seberat 20 kilogram semasa operasi kerana ketika itu jalan sempit dan tidak elok, khususnya di kawasan kampung yang terpencil.

“Lebih-lebih lagi kawasan sini kebanyakannya sawah bendang…memang amat sukar kerja menyelamat pada masa dulu. Tetapi dengan pembinaan jalan yang lebih lebar dan elok terutama di kawasan luar bandar telah banyak memudahkan operasi pasukan,” katanya.

Ooi, yang menyertai bomba sukarela pada tahun 1990, berkata usaha meningkatkan kualiti infrastruktur khususnya di kawasan pedalaman mempunyai banyak manfaatnya.

“Macam dulu tiada perkhidmatan telekomunikasi. Memang susah untuk penduduk kampung memaklumkan kepada kami jika berlaku kebakaran. Ada yang terpaksa berbasikal dan naik motosikal dari kampung ke bilik operasi kami semata-mata untuk meminta tolong.

“Jalan yang tidak elok dan tidak rata, serta keadaan yang gelap gelita ketika itu juga membahayakan penduduk kampung dan melambatkan proses menyelamat.

Tetapi sekarang semua boleh berhubung dengan cepat melalui telefon bimbit,” katanya.

Ooi berkata selain itu, kemudahan seperti pili bomba yang banyak didirikan di kawasan pedalaman turut membantu kerja menyelamat berbanding sebelum ini.

“Dulu kalau bomba ini selain terpaksa mengangkut peralatan yang berat, mereka juga terpaksa bermandi peluh mencari tali air berdekatan bagi kerja-kerja memadam api,” katanya.

Ooi, bapa kepada dua orang anak, berkata kebakaran yang terbesar pernah terjadi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau ialah pada 17 Februari, 2010 apabila 13 rumah kampung di Sungai Limau Dalam dijilat api dan 60 penduduk hilang tempat tinggal.

Beliau berkata pasukannya itu amat memerlukan peralatan tambahan dan kenderaan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka kepada masyarakat setempat.

“Bomba sukarela Sungai Limau Dalam adalah satu-satunya bomba sukarela di DUN Sungai Limau, dan amat penting bagi pasukan itu untuk menambah peralatan kerana banyak peralatan sedia ada sudah begitu lama,” katanya.

Selain itu, katanya, bomba sukarela perlu diberikan perlindungan insurans secara percuma kerana golongan itu tidak mendapat apa-apa bantuan, selain menggadai nyawa dalam kerja memadam kebakaran.

Pada masa ini, katanya, pasukan bomba sukarela itu hanya mempunyai sebuah jentera bomba yang dibeli sejak 1996, dan pernah terlibat dalam kerja-kerja menyelamat di negeri ini, termasuk di Guar Chempedak, Gurun, Alor Setar dan Pendang. — Bernama