Sunday, October 20

Penduduk gotong-royong bersih taman perumahan

0

KERJASAMA: Ahli KRT Taman King Sum dan Taman Hung Liong pada program gotong-royong perdana dengan MDDM di Mukah.

SIBU: Semua penduduk di taman perumahan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman King Sum dan Taman Hung Liong, Mukah di sini bersama kakitangan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) bergotong-royong membersih taman perumahan mereka.

Turut hadir pada program tersebut ialah Penolong Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah Daniel Yap.

Beliau berpuas hati dengan program-program yang dilaksanakan oleh KRT tersebut kerana sebelum ini KRT itu menjalankan pelbagai program untuk memupuk perpaduan berbilang kaum.

Menurut Pengerusi KRT Taman King Sum dan Taman Hung Liong Sidi Maun, KRT taman perumahan mereka ditubuhkan dengan rasminya pada 31 Mei 2012 dan merupakan satu-satunya KRT berkonsep taman perumahan di bahagian Mukah.

Sidi melahirkan rasa bangga kerana taman perumahan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu padu melaksanakan program gotong-royong perdana membersih kawasan taman perumahan mereka.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada semua penduduk taman perumahan tersebut dan kakitangan MDDM kerana sudi mengorbankan hujung minggu bersama-sama gotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan terbabit.

Beliau juga berharap badan korporat atau swasta, wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan menyokong dan membantu KRT mereka dalam bentuk geran bagi membeli peralatan seperti khemah, meja dan kerusi dan menyediakan tempat khas di taman perumahan terbabit sebagai pusat aktiviti KRT mereka.