Penubuhan PRS di Layar bantu parti komponen BN

0

SUMBANGAN: Roseline (tiga kanan) mewakili Doris menyampaikan sumbangan kepada Edward (dua kanan) sambil disaksikan Angeline (empat kanan) dan Exco Wanita PRS Pusat pada majlis itu.

BETONG: Ketua Wanita Pergerakan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Pusat Datuk Doris Sophia Brodie berkata penubuhan PRS di Layar, Betong adalah untuk membantu parti komponen Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Menurutnya, PRS sedia bekerjasama dan membantu wakil rakyat BN yang diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Parlimen Betong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tujuan penubuhan PRS di Layar adalah untuk memastikan Parlimen Betong termasuk dua DUN yang diwakili PBB akan terus diterajui BN.

“Justeru, kami akan berjuang bersama-sama parti komponen lain agar BN di sini akan mendapat majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya pada Penubuhan Protem PRS Bahagian Layar dan teks ucapannya dibacakan oleh Naib Pengerusi Wanita PRS Roseline Neging di sini kelmarin.

Pengerusi Protem PRS Layar ialah Edward Augustine.

Dalam majlis itu, Doris turut menghulurkan sumbangan peribadi RM1,000 kepada Pergerakan Wanita Bahagian Layar untuk memudahkan pergerakan itu menjalankan aktiviti mereka.

Sementara itu, Doris berpesan kepada PRS Bahagian Layar agar kerap turun padang terutama pada setiap pilihan raya bagi membantu calon BN menang dengan majoriti besar.

Turut hadir dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Angeline Umih dan Richard Will Uban serta Exco Wanita dan Pemuda PRS Pusat.