SMK Saribas, St Augustine rangkul Piala Pengarah Pendidikan Sarawak

0

JUARA: Pasukan St Augustine merakamkan gambar kenangan.

BETONG: Pasukan Bawah 16 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas membuktikan bahawa mereka mampu mencabar mana-mana pasukan bola sepak di Bahagian Betong apabila menjuarai Kejohanan 7’S Piala Pengarah Pendidikan Sarawak.

Mereka menewaskan pasukan SMK Beladin dengan 3-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong, petang kelmarin.

Manakala pasukan SMK Saratok dan SMK Pusa masing- masing di tempat ketiga bersama setelah mereka tewas pada aksi separuh akhir meletakkan mereka gagal beraksi pada final kejohanan tersebut.

Dalam satu lagi aksi final, pasukan Bawah 14 tahun SMK St Augustine Betong mengungguli kejohanan apabila menewaskan SMK Saratok dengan 2-0 pada kejohanan yang sama dan beraksi di padang SMK St Augustine.

SMK Beladin dan SMK Saribas pula di tempat ketiga bersama apabila mereka masing- masing tewas pada aksi separuh akhir.

Kejohanan tersebut merupakan salah satu aktiviti Pejabat Pendidikan Daerah Betong bagi mempersiap pelajar dalam memperkukuh kemahiran, selain melihat kebolehan pemain yang dipilih di kalangan pelajar sekolah menengah Bahagian Betong.

Sebanyak lapan pasukan terdiri SMK Saratok, SMK Beladin, SMK Pusa, SMK Saribas, SMK Spaoh, SMK Datuk Patinggi Kedit, SMK St Augustine dan SMK Ulu Layar menyertai kejohanan selama sehari itu.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Abdillah Adam hadir menyaksikan perlawanan akhir dan merasmikan kejohanan tersebut seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.