Sumbangan golongan wanita perkukuhkan PBB, kata Len

0

TIBA: Len (tengah) tiba pada majlis makan malam sempena Jubli Emas Sarawak Merdeka Dalam Malaysia dan Jasamu Dihargai Wanita PBB Belawai, malam kelmarin.

SARIKEI: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal), Datu Len Talif Salleh berkata salah satu faktor kekuatan dan tunjang utama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai sebuah parti komponen yang bertahan lama kerana peranan dan sumbangan golo-ngan wanita.

Katanya berdasarkan rekod parti sejak penubuhannya, golongan wanita yang banyak membantu parti bertahan sekali gus membantu parti memenangi setiap pilihan raya.

“Sungguhpun demikian, kita mahu semua pihak tidak leka dan berpuas hati dengan pencapaian parti selama ini terutama dengan imej sebagai sebuah parti tulang belakang pentadbiran negeri ini.

“Kita harus ingat tulang belakang pun boleh patah dan retak sekiranya tidak dijaga dan dipelihara dengan baik serta diletakkan beban di luar kemampuannya.

“Maka, langkah mengukuh dan memantapkan parti harus dilakukan dari semasa ke semasa dengan pelbagai pendekatan selari dengan tuntutan globalisasi.

“Salah satu usaha yang di-pergiatkan ialah ahli-ahli parti menarik lebih ramai golongan muda mendaftar serta menjadi ahli-ahli baharu bagi usaha kesinambungan masa depan parti sekali gus memperkukuh kekuatan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Jubli Emas Sarawak Merdeka Dalam Malaysia dan Jasamu Dihargai anjuran Pergerakan Wanita PBB Belawai, kelmarin.

Majlis yang berlangsung di Dewan Suarah Sarikei dihadiri kira-kira 200 ahli PBB terdiri daripada Pergerakan Wanita, Pemuda, ketua masyarakat serta ahli-ahli PBB.

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai berkata, perhatian khusus wajar ditumpukan kepada golongan muda pada masa kini.

“Kita mahu jentera parti dekat dengan golongan ini dan berusaha menyedarkan golongan muda agar mendaftar sebagai pengundi apabila mereka layak sekali gus menjadi ahli parti.

“Golongan ini harus dise-darkan tentang betapa pen-tingnya peranan mereka dalam perkara ini, terutama sebagai pengundi.

“Adalah satu kerugian kepada mereka sekiranya pe-luang ini tidak dimanfaatkan mereka dengan sebaiknya,” tegas Len.

Terdahulu Ketua Pergera-kan Wanita PBB Belawai Kaunselor Dayang Raoyah Abang Adeng berkata, majlis bertujuan memberi penghargaan kepada golongan wanita PBB Belawai yang banyak berjuang membantu parti.

“Usaha tersebut termasuk mengharungi tsunami politik yang berlaku pada 1980-an serta berjuang habis-habisan dalam memastikan calon-calon PBB memenangi kerusi yang dipertandingkan pada setiap pilihan raya, tanpa mengenal erti putus asa dan patah semangat.

“Kita berharap semangat seperti ini dapat diamalkan secara berterusan agar PBB terus kukuh dan releven menjadi sebuah parti terulung,” tegasnya.

Pada majlis sama, Dayang Raoyah selaku wakil Pergera-kan Wanita PBB Belawai juga turut mengucapkan terima kasih kepada Len yang turut memberi suntikan dana kepada Tabung Pergerakan Wanita dengan jumlah RM17,000.

Turut hadir Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarikei Ahmat Adai, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Chan Pan Chan serta ketua-ketua ranting PBB.