Monday, October 21

Budak lelaki maut digilis jentera penggelek jalan

0

MIRI: Kegembiraan dua beranak menghabiskan cuti hujung minggu dengan berbasikal bersama berakhir tragedi apabila anaknya maut setelah digilis jentera penggelek yang digunakan untuk merata jalan dalam kejadian di kawasan perumahan Desa Senadin, di sini petang kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Syamil Mohd Sharizan, berusia tiga tahun 10 bulan yang retak kaki kanan dan cedera di beberapa bahagian badan serta kepala dikejarkan oleh ahli keluarganya ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan segera.

Bagaimanapun mangsa kemudian disahkan meninggal dunia 15 minit setelah mendapat rawatan di hospital tersebut.

Menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 4.30 petang Ahad lalu, bapanya yang berusia 32 tahun membawa mangsa berbasikal di sekitar kawasan rumah sebelum berhenti di hadapan rumah seorang jiran untuk berborak.

Tiba-tiba datang sebuah jentera penggelek jalan yang mengundur dengan laju lalu melanggar basikal mangsa menyebabkan kedua-dua beranak terjatuh.

Sebaik terjatuh, bapanya sempat bangun untuk mengelak daripada digilis namun dia tidak sempat menarik anaknya dan hanya mampu melihat anak digilis sambil meraung kesakitan.

Serentak itu, dia terus menjerit ke arah pemandu jentera terbabit supaya memberhentikan kenderaannya sambil memberitahu kejadian tersebut.

Difahamkan semasa kejadian, pemandu jentera terbabit sedang dalam perjalanan pulang ke tapak pembinaan yang terletak berhampiran kawasan rumah mangsa setelah selesai kerja merata jalan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh bapa mangsa sekitar jam 9 malam kelmarin di Balai Polis Pusat Miri.

Manakala pemandu berusia 43 tahun terbabit menyerah diri pada jam 11 malam kelmarin.

“Pemandu terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam setelah keterangannya direkodkan oleh pegawai penyiasat kes,” katanya.