Dua lelaki dari Johor maut selepas kereta bertembung dengan lori

0

NGERI: Pasukan bomba mengeluarkan pemandu dan penumpang Viva yang tersepit selepas bertembung dengan lori di Jalan Batu Kitang, semalam.

KUCHING: Dua lelaki yang berasal dari Johor maut serta-merta di tempat kejadian dalam nahas antara Perodua Viva dan sebuah lori 10 tan di Jalan Batu Kitang, dekat sini, semalam.

Insiden itu dipercayai berlaku apabila Viva menuju ke Batu 7 itu bertembung dengan lori yang membawa muatan batu berhampiran Loji Rawatan Air Kuching.

Mangsa-mangsa yang tersepit di dalam Viva hanya dapat dikeluarkan dengan khidmat pihak bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan sekitar jam 3.21 petang.

Operasi mengeluarkan mangsa tersepit yang dibantu sepasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bau itu tamat pada jam 4.24 petang.

Penumpang Viva dikenal pasti sebagai Loo Jit, 22 dan pemandunya, Chew Kok Shong, 40, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) di tempat kejadian.

Pemandu Viva itu dikatakan mengalami kecederaan sangat teruk di kepala sehingga mukanya tidak dapat dikenal pasti.

Manakala pemandu lori pula tidak mengalami kecederaan serius.

Kedua-dua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Kes sedang disiasat.