Monday, October 21

Lagi senjata api dirampas

0

SENJATA API: Law (tengah), Zulkifli (kiri) dan Moses masing-masing menunjukkan pistol-pistol dan senapang buatan sendiri yang dirampas selepas sidang media, semalam.

11 individu ditahan termasuk seorang pendatang, beberapa senjata api dirampas

KUCHING: Polis Sarawak menahan 11 individu termasuk seorang pendatang tanpa izin serta merampas beberapa senjata api di tiga tempat berasingan, hujung minggu lalu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon, serbuan di Chonglin Park, Jalan Tabuan di sini pada Sabtu lepas menyaksikan penahanan dua lelaki termasuk seorang penganggur yang mempunyai rekod jenayah atas cubaan membunuh.

Serbuan Ops Cantas yang dilakukan kira-kira jam 12.30 pagi itu katanya, turut menyaksikan rampasan dua pucuk pistol buatan sendiri yang berisi peluru hidup serta sebuah botol berisi 23 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi daripada penganggur berumur 38 tahun dan mekanik, 32 tahun.

“Siasatan mendapati penganggur tersebut mempunyai rekod jenayah lampau serta pernah ditangkap pada 2009 atas cubaan membunuh, memiliki senjata bahaya dan kedua-dua suspek juga didapati positif dadah,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Badruddin, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Datuk Zulkifli Hassan dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Superintenden Moses Agat.

Kedua-dua suspek itu ditahan reman selama seminggu untuk membantu melengkapkan siasatan.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Sen- SAYOT’• Muka 20 jatapi 1971 dan seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya.

Manakala di sebuah pondok kelapa sawit di Kampung Ensebang Plaiee, Balai Ringin di Serian, dekat sini, Law memberitahu bahawa lelaki warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu ditangkap selepas didapati memiliki selaras senapang patah dengan 12 butir peluru, kedua-duanya buatan sendiri.

Serbuan sekitar jam 1.15 petang itu dibuat oleh pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian yang bertindak atas maklumat awam selepas mengesyaki lelaki berumur 30 tahun itu menyimpan senjata berbahaya.

“Suspek mendakwa ia digunakan untuk memburu namun kami masih meneruskan siasatan,” katanya.

Tangkapan dan rampasan barang-barang kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu pada Jumaat lepas di Miri, Law memberitahu, polis melakukan dua serbuan berasingan yang mana rampasan pertama melibatkan selaras senapang patah, lima butir peluru, sebilah pedang samurai dan dua bilah parang dengan penangkapan empat lelaki dan seorang wanita.

Kesemua suspek ditahan di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Rampasan kedua di tempat sama melibatkan dua bilah parang dan sebilah pedang samurai dengan tertangkapnya tiga lelaki yang kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan.

Suspek-suspek yang ditangkap itu katanya, berusia dalam lingkungan 21 tahun hingga 48 tahun.

“Senapang patah yang dirampas adalah buatan sendiri.

“Ia bukan sahaja berbahaya kepada orang awam tetapi juga kepada pengguna.

“Ops Cantas ini akan diadakan secara berterusan dan kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil memaklumkan kepada polis,” katanya.