Operasi polis berjaya buru 144 pesalah trafik Brunei

0

OPERASI: Khairol sedang memeriksa sebuah kenderaan Brunei dalam Operasi Kenderaan Brunei di Limbang kelmarin.

LIMBANG: Polis berjaya memburu 144  pemilik kenderaan Brunei yang mempunyai saman tertunggak dan gagal dibayar atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi pemeriksaan ke atas 357 kenderaan Brunei dalam Operasi Kenderaan Brunei di hadapan Balai Polis Limbang, pagi kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik Daerah Limbang Inspektor Khairol Ridzuan Ahmad berkata, operasi melibatkan 16 anggota itu dijalankan untuk memburu pemandu kenderaan Brunei dan pemandu Malaysia yang menggunakan kenderaan Brunei kerana berdegil dan enggan membayar saman walaupun tempoh secukupnya sudah diberikan.

“Dalam operasi yang bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari semalam (kelmarin) kita berjaya mengutip jumlah saman keseluruhan RM21,500,” ujarnya kepada Utusan Borneo semalam.

Khairol mendedahkan, banyak saman melibatkan kenderaan Brunei yang masih tertunggak dan gagal dilunaskan sehingga kini.

Katanya lagi, sebanyak 2,150 saman dikeluarkan ke atas kenderaan Brunei dari Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 2,373  saman sepanjang tahun 2012.

Jelas beliau, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memburu pesalah terbabit dan saman perlu dilunaskan segera bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau juga menasihati warga Brunei agar sentiasa menyemak saman kenderaan mereka di mana-mana balai polis berdekatan termasuk di Limbang, Miri, Lawas mahupun Kota Kinabalu.

Jelasnya, kekerapan menyemak saman penting agar tidak mengganggu perjalanan  mereka jika ditahan semasa operasi atau sekatan jalan raya yang dijalankan pihaknya di daerah ini.