Thursday, March 21

Angkat ekonomi Bumiputera

0

SUMBANGAN DIIKTIRAF: Tuanku Abdul Halim berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada Taib pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-79 di Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Model pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara usaha sama dengan syarikat bukan Bumiputera telah berupaya mengangkat ekonomi Bumiputera di Sarawak.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kejayaan model itu akan dapat terus dinikmati pemilik tanah NCR di kalangan generasi masa hadapan.

“Inilah antara perjuangan saya untuk menangani keadilan dan kesaksamaan sosioekonomi bagi mengangkat martabat golongan Bumiputera khususnya dan seluruh penduduk negeri Sarawak amnya,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan balas yang die-mel sempena Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Teknologi MARA di UiTM Shah Alam, semalam.

Ia disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UiTM pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-79.

Sambil berterima kasih dengan penganugerahan itu, Taib berkata apabila dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981, beliau berusaha mencari jalan terbaik supaya pembangunan tanah terus memanfaatkan rakyat khu- susnya pemilik tanah NCR.

“Sejak itu, kerajaan negeri telah memperkenalkan pembangunan tanah dengan cara moden yang dapat menguntungkan rakyat,” ujarnya yang enggan melihat Bumiputera mundur meskipun memiliki tanah luas.

Apabila terlibat secara langsung dalam politik di Sarawak pada 1960-an, katanya, beliau mendapati aset pertama Bumiputera ialah tanah.

“Walaupun mereka memiliki tanah yang luas, keadaan mereka ketika itu adalah amat daif.

Inilah yang membuatkan penerokaan dan pembangunan tanah sentiasa dekat dalam hati saya,” jelasnya.

Taib berkata, tanah yang tidak dibangunkan sebenarnya aset mereka yang amat berguna untuk mengubah kehidupan Bumiputera.

“Sekiranya aset ini dapat dibangunkan, pulangan yang berlipat ganda akan dapat diperolehi.

Hasilnya pasti akan dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat biasa,” jelasnya.

Kejayaan model pembangunan tanah itu, menurutnya, mendapat sokongan dari rakan-rakan seperjuangan politiknya.

“Model ini telah mendapat kejayaan yang boleh dibanggakan.

Ini dapat dilihat dengan pembukaan lebih daripada 1.2 juta hektar ladang sejak pertengahan tahun 90-an.

“Usaha sama ini juga telah berjaya menaikkan nilai tanah adat Bumiputera dengan mendadak daripada harga biasa RM100 kepada RM4,000 seekar sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, Taib yang berkelulusan Bachelor Undang- Undang daripada Universiti Of Adelaide, Australia pada 1960 berkata, ilmu undang- undang banyak membantunya merancang, mengurus dan melaksanakan pembangunan di Sarawak.

“Latihan dan keilmuan dalam bidang undang-undang yang mendukung keadilan dan kesaksamaan saya gunakan dan saya jadikan obor penunjuk cara dan hala tuju dalam membuat keputusan.

“Asas dan prinsip undangundang sentiasa saya gunakan apabila membuat pertimbangan dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak,” katanya.