Monday, September 23

UNIMAS terus menempa kejayaan

0

PEMAHSYURAN: Tun Salahuddin (kanan) memahsyurkan Jabu sebagai Pro Canselor UNIMAS susulan pelantikan pada 9 Oktober lepas. — Gambar Muhd Rais Sanusi

 

KOTA SAMARAHAN: Seramai 2,346 graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-17 yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS di sini.

Majlis konvokesyen selama dua hari pada 9 dan 10 November itu diisytiharkan oleh Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor UNIMAS, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada sidang pertama konvokesyen semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, daripada keseluruhan graduan, 2,129 daripadanya merupakan graduan prasiswazah, manakala 217 orang lagi merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada 25 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan 192 penerima sarjana.

Mengimbau kembali tahun 2012 ketika UNIMAS menyambut ulang tahunnya yang ke-20, kejayaan demi kejayaan telah diraih oleh UNIMAS sekali gus mencerminkan pencapaian misi UNIMAS untuk menjadi sebuah universiti contoh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

UNIMAS, katanya, kekal dalam ranking 200 universiti terbaik di Asia pada ranking ke-181 daripada 500 buah universiti dan di kedudukan ketujuh di Malaysia berdasarkan kepada QS Asian University Rankings 2013.

Terbaharu, katanya, UNIMAS berjaya memenangi dua pingat emas, dua pingat gangsa dan satu ‘glory medal’ daripada enam produk UNIMAS yang dipamerkan di ‘International Trade Fair Ideas-Inventios New Products’ (iENA) 2013 di Nuremberg, Jerman dari 31 Oktober hingga 3 November lepas.

“Sejak awal penubuhannya dan sehingga tahun ini, pengambilan mahasiswa untuk sesi akademik semakin meningkat di mana tahun ini sahaja seramai 3,757 mahasiswa baharu mendaftar pada kemasukan semester September 2013/2014.

“Kemasukan mahasiswa ini menjadikan bilangan pelajar UNIMAS melonjak kepada 15,981 orang terdiri daripada 13,956 pelajar prasiswazah, seramai 1,254 pelajar pascasiswazah dan 708 pelajar program prauniversiti.

“Ini merupakan perkembangan yang baik kerana program-program yang ditawarkan oleh lapan fakulti mampu menarik ramai pelajar untuk memilih UNIMAS sebagai universiti pilihan,” katanya.

Tambah Dr Kadim, bagi menampung keperluan mahasiswa terutama dari segi penginapan, pihak universiti telah membeli 15 blok pangsapuri Vista Ilmu sebagai Kolej Kediaman Rafflesia dengan kos pembelian sekitar RM48.64 juta bagi menampung 3,276 mahasiswa.

Selain itu, pembinaan Kolej Kediaman Dahlia dengan kos berjumlah RM51.5 juta yang mampu menampung 1,800 mahasiswa sedang giat dijalankan dan apabila siap sepenuhnya kelak kedua-dua kolej kediaman ini mampu menyediakan bilik penginapan kepada 90 peratus dari jumlah mahasiswa sedia ada.

Bagi memastikan program-program ijazah dan sarjana yang ditawarkan menepati ketetapan Malaysian Qualification Accreditation (MQA) dan mengikut keperluan pihak industri, UNIMAS turut mempratikkan semakan semula kurikulum di peringkat program dan fakulti sekali dalam tempoh tiga tahun, katanya.

“Kedudukan UNIMAS sebagai Universiti Komprehensif sememangnya telah berada pada landasan yang betul. Kejayaan yang dikecapi sejak 20 tahun penubuhannya menjadi testimoni kepada kecemerlangan UNIMAS.

“Kerjasama dengan pihak kementerian, industri dan masyarakat secara konsisten dan berterusan, mampu memberi sumbangan kepada negara melalui hasil pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi UNIMAS yang boleh menjana pembangunan ekonomi dan kemajuan negara pada masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, majlis konvokesyen semalam turut menyaksikan pemahsyuran Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang sebagai Pro Canselor UNIMAS susulan pelantikan pada 9 Oktober 2013 lepas.