Wednesday, October 27

CEO TV Alhijrah, Datuk Bukhari Che Muda meninggal dunia

0

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV Alhijrah, Datuk Bukhari Che Muda meninggal dunia akibat penyakit barah pada jam 6.08 pagi semalam di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Subang Jaya dekat sini.

Allahyarham berusia 56 tahun.

Jenazah beliau dibawa ke kediamannya di No 6, Jalan Hablur Satu, Seksyen 7, Shah Alam.

Pegawai Perhubungan Awam TV Alhijrah Irwan Abdul Rahman berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negeri di Shah Alam untuk solat jenazah pada 12 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi TV Alhijrah Tan Sri Yusof Noor, Anggota Lembaga Pengarah TV Alhijrah Datuk Shahlan Ismail, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.

Irwan berkata Allahyarham dihantar ke SJMC tengah malam kelmarin berikutan keadaannya yang tenat sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital itu, awal pagi semalam.

Allahyarham yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan meninggalkan isteri Datin Suriati Daud, 52, dan tiga anak perempuan Syahidah, 17, Sofiah, 16, Aisyah, 14, serta seorang anak lelaki, Arif, 12 tahun.

Allahyarham telah menceburi bidang penyiaran lebih 25 tahun dengan memegang pelbagai jawatan strategik di peringkat pengurusan di TV3 dan TV9.

Beliau menamatkan pengajian ijazah dalam bidang penyiaran di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dan memperoleh Executive MBA dari Beme University of Applied Sciences, Switzerland dan Cambridge International Diploma in Management. — Bernama