Naikkan elaun pekerja cacat kepada RM500: SBM

0

BINA SEMANGAT: Mohammed Nazari (kanan) memberi kata-kata semangat kepada penerima anugerah cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Lock Weng Hang, 22, (dua, kiri), Teh Yong Shing, 18, (tiga, kiri) bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Muhd Khairul Imran Adam (dua, kanan) bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan SBM, Dr Wong Huey Siew (kiri). — Gambar Bernama

Elaun sedia ada tidak relevan, kos hidup sudah meningkatKUALA LUMPUR: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) semalam meminta kerajaan menimbang cadangannya supaya Elaun Pekerja Cacat (EPC) dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan.

Presidennya Mohammed Nazari Othman berkata elaun sedia ada sudah tidak sesuai berikutan kos sara hidup semakin meningkat.

“Sebagai mewakili golongan OKU (Orang Kelainan Upaya) penglihatan, saya berharap kerajaan dapat menaikkan EPC kepada RM500,” katanya kepada Bernama sebelum majlis Anugerah Cemerlang Pelajar OKU Penglihatan peringkat kebangsaan di sini, semalam.

EPC diberikan secara bulanan kepada OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bekerja dan mempunyai pendapatan RM1,200 dan ke bawah.

Mohammed Nazari juga meminta kerajaan menaikkan kadar maksimum pendapatan daripada RM1,200 ke RM3,000 untuk melayakkan OKU mendapatkan EPC.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan mempertimbang cadangan SBM supaya mewujudkan Elaun Sara Hidup OKU sebanyak RM500 sebulan kerana kira-kira 90 peratus OKU tidak berkemampuan dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“OKU mempunyai kecacatan kekal dan mempunyai kekangan besar untuk mendapatkan pekerjaan yang baik,” katanya.

Pada majlis itu, tiga pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diberi penghargaan berbentuk wang tunai dan sijil.

Selain itu, 10 pemenang Pertandingan Penulisan Artikel Peringkat Kebangsaan 2013 sempena ulang tahun ke-50 SBM turut menerima hadiah masing-masing pada majlis itu. — Bernama