Institusi pendidikan awal berperanan lahir golongan muda celik ilmu

0

BAKAR SEMANGAT: Abu Seman menyempurnakan Majlis Konvokesyen Tabika KEMAS Matu dengan menyampaikan sijil kepada salah seorang kanak-kanak.

MATU: Institusi pendidikan awal kanak-kanak seperti Tabika dan Taska KEMAS memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan golongan muda yang celik ilmu.

Pencapaian prestasi tersebut merangkumi penguasaan dalam kemahiran membaca, menulis, mengira, mengenal abjad dan pelbagai pencapaian diri, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie.

Jesteru katanya, dalam membantu golongan ini mencapai matlamat dan sasaran ini, semua pihak harus bekerjasama memainkan peranan mereka dan bukannya meletakkan tanggungjawab itu pada satu pihak sahaja.

“Peranan Tabika KEMAS terus relevan dalam memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat selaras dengan visi untuk menjadi sebuah agensi kerajaan yang unggul.

“KEMAS berperanan penting memupuk kefahaman dan semangat muhibah melalui jaringan hubungan dan integrasi sosial ke arah pembentukan bangsa,” katanya.

Abu Seman berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Tabika KEMAS Matu di sini, semalam.

Menurutnya, usaha itu se jajar dengan matlamat untuk membantu kerajaan dalam mengeratkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat bermula daripada peringkat usia muda.

“Pendidikan merupakan wadah utama dalam menentukan perkembangan kemajuan negara, malah ia menjadi peneraju membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia.

“Program transformasi kerajaan merangkumi beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.

“Salah satu sasaran utamanya ialah pendidikan peringkat prasekolah. Dalam hal ini, komitmen padu dan usaha gigih guru amat penting bagi memastikannya menjadi satu realiti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak menafikan pendidikan merupakan satu medium terpenting dalam membentuk jati diri modal insan yang akan memimpin negara pada masa depan.

Malah katanya, pendidikan yang mampu membentuk modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi mampu dilahirkan dalam satu skala yang besar.

“Warga pendidik merupakan golongan bertuah kerana dikurniakan dengan kebijaksanaan dan ketabahan dalam usaha mendidik anak bangsa,” katanya.

Program itu bermatlamat menerapkan nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia.

“Majlis seumpama ini mampu memperkukuhkan amalan dan penghayatan nilai murni melalui pengalaman sebenar.

“Yang paling penting, dapat mengeratkan integrasi masyarakat yang berbeza budaya dan amalan serta meningkatkan semangat perpaduan bermula dari peringkat prasekolah,” jelasnya.