Peserta lumba perahu sedia berentap pada Regata Sebauh

0

BERSEDIA: Pasukan lumba perahu yang diketuai oleh Harry menjalani sesi latihan di Sungai Kemena, petang semalam.

BINTULU: Pasukan yang menghantar peserta lumba perahu masing-masing sudah bersedia untuk berentap pada Regata Sebauh 2013 bermula 15 hingga 17 November ini di Tebingan Kemena.

Pada masa ini, pasukan pekayuh dan juga bot laju berkuasa tinggi giat menjalani latihan sepanjang Sungai Kemena bagi membiasakan diri dengan arus air sungai berkenaan yang agak deras pada masa sekarang.

Salah seorang ketua pasukan lumba perahu dari gabungan lima buah rumah panjang di Sungai Sebauh, Harry Francis Lutau berkata pasukannya akan menghantar 100 orang pekayuh perahu bidar dan empat buah perahu temuai bagi meraih kemenangan dalam setiap acara dipertandingkan pada regata itu nanti.

Lima buah rumah panjang bergabung menghantar peserta ialah Rumah Yus (Sungai Senggam), Rumah Assan (Sungai Semebak), Rumah Liban dan Rumah Saging (Sungai Ensaie) dan Rumah Henry Nuni (Sungai Gelam).

“Sejak dahulu, pasukan diketuai oleh saya menunjukkan pencapaian yang agak membanggakan dalam sukan air ini yang merupakan salah satu daripada sukan tradisi yang amat digemari oleh masyarakat setempat,” jelasnya.

Katanya, melalui regata yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Pejabat Residen Bintulu ini akan membantu menghidupkan semula sukan lumba perahu tradisi masyarakat setempat terutamanya bagi perahu temuai dan bidar.

Katanya, regata itu turut mengembalikan nostalgia regata di Sebauh dengan menghimpunkan pasukan tempatan dan juga dari bahagian lain dari seluruh Sarawak.

Harry berkata, pasukan di bawah kendaliannya mempunyai rekod cemerlang dalam sukan lumba perahu sama ada di peringkat daerah, bahagian dan kebangsaan.

“Sejak 1986, pasukan lumba perahu ini berjaya mengumpulkan 120 piala kemenangan dalam pelbagai kategori dipertandingkan yang disimpan oleh Tan Sri Calestine Ujang dan sebahagiannya disimpan Penghulu Lanyau Ruma di rumah panjang Henry Nuni di Sungai Gelam Sebauh,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa pasukannya mampu meraih banyak kemenangan dalam acara regata ini berikutan keistimewaan mereka sebagai anak jati daerah Sebauh yang amat mahir dalam ilmu kayuhan serta selok-belok Sungai Kemena dan Sungai Sebauh yang merupakan nadi utama kehidupan mereka.

Majlis perasmian regata itu dijangka disempurnakan Menteri Muda Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi, Datuk Dr Stephen Rundi Utom pada 15 November ini, sekitar jam 10 pagi.

Penduduk bahagian ini khususnya dari bandar Bintulu, Sibu, Miri, Kuching serta bahagian lain di negeri ini dijemput datang ke Tebingan Kemena bagi memeriahkan regata itu.