369 kakitangan awam menerima pingat

0

KHIDMAT SETIA: Taib menyematkan Pingat Perkhidmatan Setia pada Sajeli di Miri, semalam.

MIRI: Kerajaan negeri mengurniakan Pingat Perkhidmatan Setia kepada 369 kakitangan awam yang berkhidmat di negeri ini, pada majlis penyampaian pingat yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada para penerima.

Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Datu Sajeli Kipli, mengetuai senarai penerima pingat, yang dianugerahkan kepada penjawat awam yang bertaraf tetap dan telah lama berkhidmat dan menunjukkan mutu perkhidmatan cemerlang.

Sementara itu para penerima pingat semalam terdiri daripada kakitangan awam daripada JTS seramai 43 orang, Jabatan Hutan Sarawak (24), Jabatan Kerja Raya Sarawak (75), Jabatan Pertanian Sarawak (49), Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (enam), Jabatan Perikanan Laut Sarawak (enam), Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak (11), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (tujuh), Jabatan Penjara Sarawak (13), Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sarawak (34), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (17) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (84).

Turut hadir menyaksikan penyampaian pingat tersebut semalam ialah Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James  Masing; Menteri Muda Perhubungan merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Gani dan tetamu-tetamu kenamaan lain.

Penganugerahan pingat kepada kakitangan awam negeri ini diperkenalkan sejak era pemerintahan Brooke, sebagai penghargaan dan pengiktirafan ke atas kesetiaan pegawai-pegawainya.

Padazaman pemerintahan Brooke anugerah pingat tersebut dinamakan ‘Long Service Decoration’ yang diberikan kepada pegawai-pegawai yang telah lama berkhidmat dan menunjukkan mutu perkhidmatan cemerlang.

Mulai tahun 1950-an, dalam era koloni British, gelaran kurniaan itu kemudiannya ditukar kepada ‘Long Service Badge’ namun tujuannya masih sama.

Seiring dengan perubahan zaman, gelaran ‘Long Service Medal’ atau Pingat Perkhidmatan Lama digunakan mulai 1963.

Pada 24 Mei 1996, namanya sekali lagi ditukar, kepada Pingat Perkhidmatan Setia.

Walaupun namanya bertukar namun inti pati yang ingin disampaikan adalah pengiktirafan serta penghargaan Kerajaan Negeri Sarawak kepada para penjawat awam yang berjaya mempamerkan kesetiaan mereka.

Mulai 2 Disember 2008 pula, kerajaan negeri telah membuat pembaharuan bagi pingat untuk penerima wanita iaitu dengan penggunaan reben, berbeza daripada penerima lelaki.

Sementara itu Taib, dalam perutusan sempena majlis penyampaian pingat tersebut, mahu kakitangan awam di negeri ini membuat pertimbangan dengan bijaksana, apabila melaksanakan dasar untuk memenuhi aspirasi rakyat.

“Cabaran yang dihadapi penjawat awam semakin hari, semakin meningkat seiring dengan scenario politik dan perubahan sosial.

“Justeru, penjawat awam dituntut meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya kekal relevan,” katanya.

Taib turut melahirkan rasa bangga dengan usaha semua pihak yang tidak mengenal penat dalam menjayakan program transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

“Saya juga yakin semua tujuh inisiatif kritikal transformasi yang terkandung dalam Pelan Tindakan SCS 10-20 dapat dilaksanakan sepenuhnya,” ujar beliau yang percaya hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan perkhidmatan awam bertaraf dunia akan tercapai menjelang 2020.