Mayat lelaki warga Indonesia ditemui di Ampang

0

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan tiga kesan kelaran di badannya di tangga sebuah rumah kedai di Taman Muda, Ampang di sini semalam.

Jurucakap polis berkata pekerja buruh kasar berumur 37 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh penghuni di kawasan rumah tersebut jam 7.30 pagi.

“Kita tidak menemui sebarang senjata. Ketika kejadian, isterinya berada di dalam rumah mereka di tingkat tiga berhampiran lokasi di mana dia ditemui,” katanya sambil menambah lelaki itu memasuki negara ini lebih setahun lepas.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian berikutan tiada barang peribadi milik mangsa yang hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian sambil menambah mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama