Program 1AZAM 2012 tingkat pendapatan peserta: Fatimah

0

Oleh Patricia Gari

 

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata pelaksanaan program 1AZAM 2012 menyaksikan pencapaian agak baik dengan 54 peratus atau 990  daripada 1,840 peserta disa-sarkan berjaya mencatat peningkatan pendapatan RM300 sebulan.

Beliau berkata 990 peserta itu telah merekodkan peningkatan pendapatan RM300 selama tiga bulan berturut-turut.

“Ini adalah pencapaian bagi program 1AZAM yang dilaksanakan tahun lepas dan daripada 1,840 peserta disasarkan, 990 telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

“Jadi saya dengan bangga menyatakan bahawa program pembasmian kemiskinan di bawah salah satu inisiatif kerajaan ini telah berjaya me-lonjak pendapatan kumpulan sasaran,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri Siri Keempat.

Fatimah menambah bagi pelaksanaan program 1AZAM tahun ini, yang menyasarkan 7,500 peserta sehingga 6 November 2013, 6,272 peserta telah dibantu atau 83 peratus daripada jumlah disasarkan.

Beliau memberitahu, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM111 juta bagi tujuan melaksanakan program 1AZAM di Sarawak dan pada 2014 seramai 7,500 peserta disasar dibantu di bawah program sama.

Katanya selain memberi bantuan latihan dan peralatan para peserta diwajibkan menjalani kursus literasi kewangan untuk membolehkan peserta mengurus sumber kewangan mereka dengan baik dan berhemah.

“Program pembasmian kemiskinan ini adalah usaha yang berterusan kerana masih ramai peserta e-Kasih memerlukan bantuan dan setakat 11 November 2013, 95,524 didaftar dalam sistem ini.

“Pendaftaran dikategorikan kepada beberapa kumpulan iaitu miskin (28,706) miskin tegar (28,338) dan mudah miskin (12,841),” katanya sambil menambah, setakat 11 November 2013, seramai 25,639 telah terkeluar daripada sistem e-Kasih.

Menurutnya antara sebab mereka terkeluar daripada senarai e-Kasih ialah meningkatnya pendapatan, meninggal dunia, tidak dapat dijejaki kerana bertukar alamat dan berkahwin semula.

Sementara itu, pasukan bergerak pembasmian ke-miskinan negara yang dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan melibatkan 54 agensi tahun ini turut menunjukkan penca-paian membanggakan.

Program itu katanya, yang dilaksanakan di lima kawasan pilihan (hot spot) iaitu Beliong Asajaya, Ulu Lemanak Lubok Antu, Ulu Mujok Julau, Kawasan Sebayang dan Tusok Daro serta Ulu Sangan Tatau telah memberi manfaat kepada 3,711 isi rumah.

“Tahun ini sejumlah RM8.91 juta diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan untuk bagi program ini dan kita berharap program pasukan bergerak ini akan diterus-kan pada tahun depan,” katanya.