Syarikat pembekal perkakas jadi sasaran pencuri

0

KUCHING: Sebuah syarikat pembekal perkakas di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan mengalami kerugian ribuan ringgit apabila menjadi sasaran pencuri selama dua kali dalam dua hari berturut-turut.

Dalam kejadian baru-baru ini yang disedari semalam, pencuri melarikan komponen-komponen tembaga, injap industri, kasut keselamatan dan beberapa barangan lain di pejabat berkenaan.

Pengurus syarikat yang berusia 51 tahun memberitahu pemberita semalam, pencuri dipercayai menaiki bumbung premis bersebelahan dan kemudiannya melompat ke bangunan syarikat tersebut.

Dia turut mendedahkan ia merupakan kali kedua dalam dua hari syarikat itu menjadi sasaran pencuri, yang dipercayai menggunakan cara sama untuk memasuki bangunan.

Dia turut percaya dua kes itu didalangi oleh orang sama dan berharap polis dapat menjalankan rondaan dengan lebih kerap di kawasan itu untuk menggelakkan lebih banyak syarikat menjadi mangsa kepada pencuri.

Kedua-dua kes kecurian telah dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan sedang dijalankan.