Tiada kompromi terhadap salah laku di Melikin

0

KUCHING: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku di Melikin, Balai Ringin.

Menurut Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap pihak yang menyalahi undang-undang seperti pembalakan haram, ancaman terhadap penduduk kampung serta menjejaskan alam sekitar.

“Kita tidak akan membiarkan aktiviti haram ini berterusan… mana-mana yang didapati menyalahi undang-undang akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Anugerah Tinta Kenyalang 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Petra Jaya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penduduk dari lapan kampung di Melikin, Balai Ringin yang mendakwa kawasan tadahan air mereka keruh berikutan pembalakan haram di ‘Pulau Galau’.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata, agensi berwajib seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

Menurutnya, kerajaan juga berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kes tersebut.

“Kita biarkan siasatan dibuat untuk menyelesaikan permasalahan itu dan kemudian menilai bentuk tindakan yang akan diambil,” katanya.