Keluarga mangsa kebakaran di Lingga terus dapat perhatian

0

SRI AMAN: Keluarga mangsa kebakaran yang rentung dalam kebakaran di Kampung Benan Batu, Lingga malam Ahad lalu terus menerima pelbagai sumbangan dari pelbagai pihak.

Pagi semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim antara kenamaan yang tampil menghulurkan sumbangan bagi pihak kementeriannya.

Sumbangan berjumlah RM2,000 itu disampaikan oleh Pegawai Khasnya, Mohd Saperi Abdul Karim.

Saperi ketika ditemui berharap sumbangan itu dapat digunakan oleh keluarga mangsa kebakaran terbabit untuk membeli barang keperluan bagi mendirikan rumah sementara.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman turut menghulurkan bantuan berjumlah RM2,960 bagi membantu ahli keluarga mangsa tersebut.

Penolong Pengarah JKM Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim berkata, sumbangan itu bertujuan untuk membeli perkakas rumah, pakaian, makanan, dapur gas dan membiayai upacara pengebumian mangsa yang terkorban dalam kebakaran berkenaan.

Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu ialah Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Lingga Mohd Ellfizan Paukan, Tuai Rumah Jimmy dari Kampung Benan Batu, Lingga.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10 malam, malam Ahad lepas, mangsa yang terkorban dalam kejadian itu dikenali sebagai Senin Tumbang, 70.

Mangsa rentung dalam kejadian itu kerana tidak dapat menyelamatkan diri akibat lumpuh, manakala anak lelakinya, Puggie Kual, 39, terselamat.