George Town mandi cahaya sempena ‘Karthigai Deepam’ dan ‘Loy Krathong’

0

MERIAH: Kerlipan cahaya dilihat di Persiaran Gurney apabila masyarakat Buddha melepaskan Loy Krathong semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Bagaikan pesta cahaya, begitulah suasana di bandar raya ini malam kelmarin apabila perayaan ‘Karthigai Deepam’ yang dirai penganut Hindu berkongsi tarikh dengan ‘Loy Krathong’ yang disambut oleh masyarakat Siam.

Karthigai Deepam yang disambut pada bulan Kar-thigai mengikut kalendar Tamil lazimnya jatuh antara pertengahan November dan Disember dan tahun ini tarikh itu dirai pada 17 November serta akan berlangsung selama tiga hari.

Sepanjang sambutan, pe-nganut Hindu akan membersih dan menghias rumah selain menyalakan pelita di hadapan dan setiap penjuru rumah mereka.

Kuil-kuil pula mengadakan upacara keagamaan selain menyalakan pelita seperti yang dilihat di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di kaki bukit di Kebun Bunga.

Lebih 7,000 pelita atau ‘Aagal Vilaku’ dinyalakan di 512 anak tangga ke kuil itu.

Pada masa sama, kawasan pantai di Persiaran Gurney di sini dipenuhi kerlipan lilin yang dinyalakan di dalam bakul-bakul kecil dan dihanyutkan ke laut oleh kira-kira 1,000 anggota masyarakat sempena Loy Krathong.

Perayaan itu dirai ketika bulan penuh ke-12 kalendar Thai dan biasanya jatuh dalam bulan November setiap tahun. ‘Loy’ bermaksud terapung dan ‘krathong’ pula bermakna rakit.

Ketika perayaan, masyara-kat Siam akan menghanyut-kan ‘loy krathong’ ke laut atau sungai sebagai persembahan kepada dewi air ‘Phra Mae Khongkha’.

Sempena sambutan itu, Wat Buppharam di Jalan Perak di sini menghanyutkan sebuah ‘loy krathong’ gergasi dengan ketinggian lebih satu meter. — Bernama