Wanita yang disyaki pecah amanah buat laporan polis

0

SIBU: Seorang wanita disyaki pecah amanah oleh majikannya kerana menipu wang berjumlah RM2.3 juta milik sebuah syarikat pembinaan di Sarikei tampil membuat laporan polis.

Difahamkan, wanita berumur lewat 20-an berkenaan bekerja sebagai akauntan syarikat terbabit dipecat selepas majikannya mendapati pergerakan akaun kewangan syarikat menunjukkan ketidakseimbangan begitu ketara pada 1 November lalu.

Menurut sumber, wanita tersebut mengadu bahawa seorang daripada pengarah syarikat berkenaan bertindak menamparnya dan mengugut menggunakan khidmat samseng untuk mencarinya jika dia tidak mahu membayar wang tersebut.

“Wanita tersebut juga memberitahu dia tidak keluar dari rumah kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini dilakukan ‘orang suruhan’ itu terhadapnya,” katanya.

Menurutnya lagi, sebelum ini ada sekumpulan lelaki pergi untuk mencarinya di rumah namun dia tidak berani keluar dari biliknya.

Ketika itu, bapanya terpaksa keluar bercakap dengan ‘orang suruhan’ berkenaan di luar rumah.

Menurut ayahnya, orang suruhan tersebut meminta anaknya membayar balik wang syarikat yang telah lesap itu namun mereka kemudian beredar dari situ.

Difahamkan, wanita tersebut tidak mengaku bersalah berhubung kehilangan wang syarikat terbabit.

Kes tersebut terbongkar apabila seorang daripada pengarah syarikat mengesan terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pergerakan akaun syarikat pada 1 November lalu.

Setelah siasatan dalaman dilakukan, pihak syarikat menuding jari kepada seorang akauntan wanita disyaki melakukan pecah amanah sejak 2011.

Susulan itu, sebanyak 18 buah syarikat termasuk subkontraktor dan pembekal kepada syarikat berkenaan membuat laporan polis secara berasingan.

Menurut sumber, penipuan tersebut dilakukan dengan licik apabila mereka mendapati invois, baucar, resit rasmi syarikat dan pelbagai dokumen syarikat dipalsukan.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.