Pesta pukulan gendang promosi tradisi ke persada antarabangsa

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menganjurkan Pesta Pukulan Gendang Etnik Nusantara dalam usaha mempromosi dan mempopularkan kesenian tradisional itu ke persada antarabangsa.

Berlangsung di Godown Amphitheatre, Tebingan Kuching di sini, pesta yang berlangsung pada 22 dan 23 November itu dirasmikan oleh Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, malam kelmarin.

Antara objektif penganjuran pesta ini ialah, untuk menggalak, mencungkil dan mengasah bakat-bakat baharu dalam bidang seni bergendang serta menanam kesedaran dan rasa penghargaan masyarakat umum akan pentingnya usaha memelihara identiti bangsa di tengah-tengah aruh pemodenan.

Di samping itu, pesta itu juga salah satu usaha untuk mewujudkan bandar raya berbudaya yang akan menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, sebagai pengisian pesta, turut diadakan bengkel Pesta Pukulan Gendang Etnik Nusantara pada 23 November dari 10 pagi hingga 10 malam, terbuka kepada semua pengunjung.

Setiap kumpulan yang mengambil bahagian pada pesta ini akan mempersembah serta memperkenalkan gendang mengikut budaya masing-masing di hadapan pengunjung di Godown Amphitheatre.

Pesta Pukulan Gendang Etnik Nusantara merupakan salah satu usaha untuk mencungkil bakat, kreativiti dan menggalakkan badan kesenian mengenali dan mempelajari gendang etnik dari seluruh pelosok negara dan kepulauan Borneo.

Lapan kumpulan gendang dari pelbagai suku kaum Sarawak seperti Iban, Orang Ulu, Melanau, India, Melayu menyertai pesta ini selain kumpulan dari Terengganu, Kuala Lumpur dan Kalimantan Barat, Indonesia.

Mereka ialah Kumpulan Seni Anak Siol (Iban, Sarawak), Sri Kenyalang Tiga (Melayu, Sarawak), Pewaris (Melayu, Sarawak), Motella Dance Group (Orang Ulu, Sarawak), Heritage (Kuala Terengganu), Komunitas Musik Pinang Sekayu Campursari Kinaryo Laras (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia) serta Kebudayaan dan Kesenian DBKL.

Sehubungan itu, DBKU berharap pesta itu akan meningkatkan kefahaman dan minat terhadap kesenian gendang kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia khasnya dalam kalangan belia.

Pada masa sama, DBKU berharap pesta sedemikian dapat memupuk semangat muhibah dan persefahaman dalam kalangan rakyat melalui ikatan budaya.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abdul Wahap Abang Julai.