Lebih 100 ahli PKR Roban keluar parti, masuk SPDP

1

KUCHING: Kecewa dengan parti yang tidak ada hala tuju, pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Roban, Saratok bersama setiausaha dan 108 ahlinya bertindak keluar parti.

Sehubungan itu, Gani Eli yang mengetuai cawangan tersebut sejak 2011 semalam mengemukakan permohonan untuk menyertai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Permohonan yang turut disertai ahli-ahli lain diterima oleh Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom pada satu majlis ringkas di ibu pejabat parti itu, di sini.

“Selepas Pilihan Raya Umum, PKR seolah-olah tidak ada hala tuju. Ramai lagi ahli dan penyokong PKR di Roban dijangka akan mengikut langkah kami keluar parti,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Turut kecewa dengan pucuk pimpinan PKR, bekas setiausahanya Abang Mokhtar Abang Zulkifli yang berkata beliau sedar parti pembangkang tidak berupaya mengubah nasib rakyat.

“Penyertaan kami ke dalam SPDP diharapkan boleh membawa pembangunan yang dapat memajukan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Mawan berkata, tindakan kumpulan tersebut ingin menyertai SPDP merupakan satu berita baik untuk Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, di sebalik cabaran dihadapi oleh SPDP beberapa tahun kebelakangan ini, ia masih berupaya menarik penyertaan ahli-ahli baharu.

“Mereka telah memilih untuk menyertai arus perdana dan bekerjasama dengan menyertai SPDP,” ujarnya.