Mayat bayi lelaki masih bertali pusat ditemui ditanam hidup-hidup

0

MIRI: Seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan dipercayai ditanam hidup-hidup di sebuah kawasan lapang berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Suai, Niah petang kelmarin.

Perbuatan tidak berperikemanusian itu terbongkar setelah seorang pengawal keselamatan di ladang berkenaan terdengar bunyi tangisan bayi sebelum ternampak kelibat seorang lelaki dan seorang wanita keluar dari kawasan tersebut dalam keadaan tergesa-gesa.

Terdahulu, menurut sumber, pengawal keselamatan terbabit yang sedang bertugas di pondok pengawal di ladang itu ternampak pasangan berkenaan dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan lapang bersebelahan ladang sambil membawa sebuah beg plastik berwarna hitam.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan berusia lingkungan 40-an itu tidak mengendahkan kehadiran pasangan terbabit memandangkan mereka berada di luar kawasan ladang tempatnya bertugas.

Selepas memasuki kawasan itu, katanya, lelaki terbabit dilihat duduk mencangkung sambil mengorek sesuatu sebelum kedua-duanya beredar dalam keadaan tergesa-gesa.

Pengawal terbabit juga memberitahu, sebelum itu dia ada terdengar bunyi tangisan bayi.

Beliau yang curiga dengan tingkah laku pasangan itu terus membuat pemeriksaan untuk melihat apa yang berlaku sejurus mereka beredar.

Setibanya di kawasan lapang itu sekitar jam 3.30 petang, pengawal keselamatan terbabit ternampak ada kesan tanah baharu dikorek dan ditimbus semula.

Melihat keadaan itu, dia cuba mengorek semula tanah tersebut yang digali cetek untuk melihat apa yang ditanam di situ dan terkejut apabila ternampak kaki bayi.

Serentak itu, dia terus memaklumkan pihak pengurusan ladang tentang penemuan mayat bayi tersebut dan seterusnya menghubungi pihak polis.

Polis yang tiba di tempat kejadian sekitar jam 6.30 petang telah menggali semula lubang itu dan menemui sekujur mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditanam di situ.

Pemeriksaan lanjut mendapati mayat bayi itu yang dipercayai baharu dilahirkan secara normal telah dibersihkan serta dibalut menggunakan kain putih dan dibungkus dengan selimut berwarna hijau.

Mayat terbabit yang turut dipakaikan lampin kemudian dihantar ke Hospital Miri malam kelmarin untuk bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung penemuan mayat bayi tersebut.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk meminta kerjasama pihak klinik atau hospital berhampiran untuk membantu siasatan dalam kes ini,” katanya sambil menyifatkan perbuatan individu terbabit sangat kejam.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada tangkapan dibuat pihak polis berhubung kes itu.