Nikmat anggotai Malaysia terbukti

1

BERSURAI: Taib bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri) dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (dua kiri) meninggalkan pekarangan kompleks DUN selepas sesi Persidangan DUN ditangguhkan, petang semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Pelbagai kemudahan dan pembangunan dikecapi Sarawak sejak 50 tahun lalu: KM

KUCHING: Pelbagai kemudahan dan pembangunan di negeri ini hari ini belum tentu dapat dinikmati sekiranya Sarawak tidak terlibat dalam pembentukan Malaysia.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pembangunan dan kemajuan dikecapi di negeri ini mencerminkan langkah menganggotai pembentukan Malaysia sebagai satu keputusan yang tepat.

“Kalau Sarawak tidak menjadi anggota Malaysia, Sarawak terpaksa mencari nasib sendiri, menyusun strategi pertahanan dan menegakkan dasar-dasar besar seperti pendidikan supaya dapat melengkapkannya sebagai sebuah negara yang selamat dan membangun.

“Oleh sebab itu, saya rasa eloklah isu ini ditinggalkan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana secara keseluruhan banyak syarat kita minta dalam memperjuangkan Sarawak sudah cukup ditunaikan. Ia boleh disukat sejauh mana (pembangunan dikecapi) selepas 50 tahun kita menjadi sebahagian anggota persekutuan Malaysia,” ujarnya dalam ucapan penggulungan Persidangan DUN Ke-22 di sini, semalam.

Taib memberitahu, dalam tempoh 50 tahun pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, peningkatan bekalan air bersih dan elektrik dilaksanakan di Sarawak, mengikut bajet tahunan yang diperuntukkan.

Katanya, rangkaian jalan raya di Sarawak kini adalah lebih 20,000 kilometer berbanding 1,700 kilometer 50 tahun lalu, malah pengangkutan darat dilihat penting oleh masyarakat luar bandar dengan lebih 1.5 juta kenderaan di atas jalan raya kini, berbanding sekadar 12,000 termasuk motosikal dahulu.

Beliau turut memberitahu, tidak dapat dinafikan tahap kehidupan penduduk Sarawak juga telah meningkat, malah melonjak sejak pembentukan Malaysia dan perkara ini boleh dilihat dari segi pemakanan, perumahan, kemudahan-kemudan dan tahap pendidikan dinikmati generasi muda.

“Perkara ini disokong dengan statistik. Populasi kita meningkat pada kadar purata 2.4 peratus setahun sejak 50 tahun lalu dan pendapatan isi rumah secara purata setahun meningkat daripada 4.9 peratus dari RM410 kepada RM4,200 kini.

“Pendapatan keseluruhan ekonomi di Sarawak meningkat sebanyak 11.6 peratus,” jelasnya.

Taib berkata, meskipun Sarawak terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang kaum, budaya, politik dan banyak perbezaan lain, namun masih boleh hidup secara aman dan harmorni.

“Dari segi politik, kita merupakan setiap individu berbeza yang bekerjasama meneruskan keadilan sosial, di mana kita berjaya dan berpeluang membuat visi sendiri, untuk diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita.

“Kita mungkin berbeza dalam pandangan, tetapi kita saling menghormati antara satu sama lain, melayan satu sama lain sebagai rakan dan bukan musuh,” katanya.

Dalam era teknologi serba canggih, Ketua Menteri turut mengiktiraf kekuatan media sosial sama ada untuk kebaikan dan keburukan dan untuk itu, ia harus digunakan sebaik mungkin tanpa mewujudkan propaganda dan salah faham.

“Ini adalah satu cabaran. Untuk Dewan, cabaran utama kita adalah untuk memfokuskan bagaimana dapat memastikan negeri ini, dalam masa 50 tahun lagi, untuk mengekalkan pembangunan kita,” tambahnya.

Menurut beliau, peranan kerajaan dalam pembangunan ekonomi adalah untuk menyediakan asas struktur kejuruteraan serta infrastruktur kerja-kerja yang diperlukan dan penduduk boleh mencari cara-cara untuk memperbaiki diri dan tanggungan mereka.

“Pertempuran bagi masyarakat adalah di bahagian ekonomi, di pasaran dan tidak banyak dalam politik.

“Peranan kami dalam politik adalah tadbir urus yang baik dan perkhidmatan kepada rakyat, sebaik boleh,” katanya.