Pasangan bukan Islam digalak ikuti kursus praperkahwinan

0

SEREMBAN: Pasangan bukan Islam yang bakal mendirikan rumah tangga digalakkan mengikuti kursus praperkahwinan anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) Negeri Sembilan.

Pengarah JPN Negeri Mohd Faizal Abdul Manap berkata banyak perkara yang memberi manfaat dan kesan positif yang boleh dihayati oleh pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga melalui kursus itu.

Ia memberikan penerangan dan pendedahan kepada pasangan belum berkahwin berkenaan cara komunikasi yang berkesan dalam rumah tangga, kemahiran untuk menguruskan konflik rumah tangga dan pengetahuan berkaitan undang-undang perkahwinan di Malaysia.

“Ceramah akan disampaikan oleh pakar-pakar kaunseling dari LPPKN dan kursus ini dijalankan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Tamil dan Mandarin bagi memudahkan para peserta memahami maklumat yang disampaikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd FaiZal berkata kursus praperkahwinan bukanlah sesuatu yang asing bagi LPPKN, malah ia mula dilaksanakan pada tahun 2006 melalui program ‘Smart Start’.

Katanya program kursus selama dua hari itu terbuka kepada semua bakal suami isteri dan ditawarkan di seluruh negara melalui LPPKN dan syarikat-syarikat yang dilantik.

Mohd Faizal berkata statistik JPN Negeri Sembilan menunjukkan jumlah permohonan perkahwinan bagi tahun 2011 adalah sebanyak 2,877 pasangan, 2,068 pasangan bagi tahun 2012 dan 1,941 pasangan bagi tahun 2013 dan jumlah permohonan tribunal perkahwinan bagi tujuan mendapatkan petisyen perceraian pula meningkat dari tahun 2011 hingga 2013.

Katanya bagi tahun 2011 sebanyak 263 permohonan tribunal perkahwinan diterima melibatkan 129 pasangan kaum Cina, 125 pasangan kaum India dan meningkat pada tahun 2012 sebanyak 284 untuk pasangan kaum Cina dan 144 pasangan kaum India, manakala sehingga Oktober 2013, JPN Negeri Sembilan menerima sebanyak 242 permohonan daripada pasangan kaum Cina dan 129 pasangan kaum India

“Peningkatan jumlah perceraian dari tahun ke tahun pula amat membimbangkan. Antara berlakunya perceraian berpunca daripada faktor seperti perbezaan prinsip agama, karier dan anak, keganasan rumah tangga, kesukaran kewangan, kurangnya komunikasi, masalah hubungan seksual, pasangan curang dan krisis moral dan akhlak peribadi pasangan.

“Pihak kerajaan memandang serius terhadap masalah ini dan menjadi hasrat murni pihak kerajaan untuk mengurangkan kadar perceraian yang semakin meningkat dalam kalangan pasangan bukan Islam,” katanya.

Beliau juga berkata perceraian turut menyumbang kepada masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri terutama sijil kelahiran anak-anak, masalah menetapkan taraf kewarganegaraan, ketiadaan atau lewat mendaftarkan kad pengenalan anak dan anak-anak terbiar.

“Ketiadaan dokumen pengenalan diri pula akan menimbulkan masalah lain yang lebih besar seperti kanak-kanak tidak dapat bersekolah, peningkatan gejala sosial dan peningkatan kadar jenayah,” katanya.– BERNAMA