370 peserta sertai Pertandingan Memancing Pustaka

0

KUCHING: Sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2013, Pustaka Negeri menganjurkan Pertandingan Memancing Pustaka di Tasik Pustaka, semalam.

Seramai hampir 370 peserta mengambil tempat di sekitar tasik bagi menyertai pertandingan yang bermula pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari itu.

Pertandingan itu merupakan program anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Pustaka yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan Pustaka dan orang awam.

Ia juga menjadi aktiviti riadah di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Pertandingan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang turut  menyempurnakan majlis perasmian dengan melepaskan dua ikan yang telah ditanda ke dalam tasik yang turut menjadi taruhan pada pertandingan tersebut.

Dennis Lahang, juara pancing yang berjaya merangkul kedudukan di tempat pertama dan ketiga membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,100 serta peralatan memancing manakala tempat kedua pula berjaya dirangkul oleh Mohd Jili yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta peralatan memancing.

Dia berjaya memancing ikan rohu seberat 2.495 kilogram dan ikan lampam seberat 0.845 kilogram manakala Jili pula berjaya memancing ikan lampam seberat 1.5 kilogram yang melayakkannya menduduki tempat kedua.

Sementara itu, Pustaka Negeri turut mengadakan demonstrasi jong di mana ia mempersembahkan model kapal Melayu jong yang merupakan kapal asal yang belayar di sekitar Kepulauan Melayu.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha.