Durian Singai dijadikan harta intelek, kata Nansian

0

Kajian akan dilakukan ke atas baka durian di Singai untuk didaftar sebagai harta intelek Bidayuh Singai

BAU: Kajian akan dilakukan ke atas baka durian yang ditanam di kawasan Singai yang terletak dalam daerah ini termasuk Gunung Singai untuk didaftarkan sebagai harta intelek milik masyarakat Bidayuh Singai sepenuhnya.

Menteri Muda Khidmat Masyarakat Datuk Peter Nansian Ngusie berkata bagi tujuan itu sebuah bank benih akan diwujudkan di kawasan ini sebagai pusat pengumpulan baka durian yang akan digunakan untuk penyelidikan.

“Singai terkenal dengan buah durian yang enak serta bermutu tinggi dalam kalangan penggemar durian terutama yang ditanam di Gunung Singai sejak ratusan tahun dahulu.

“Sebab itu kita perlu melakukan kajian ke atas baka-baka durian yang ada di sekitar kawasan Singai ini untuk didaftarkan sebagai harta intelektual milik masyarakat Singai sepenuhnya.

“Menerusi langkah ini, tiada mana-mana pihak atau individu luar yang boleh mengaut keuntungan daripada  hasil durian baka Singai tanpa kebenaran daripada pemiliknya iaitu masyarakat Singai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ekspedisi Mendaki Gunung Singai anjuran ahli dan jawatankuasa Redeems dari kawasan Singai.

Nansian yang juga Pengerusi Redeems serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru menambah, kajian ke atas baka durian ini akan dikendalikan bersama Jabatan Pertanian dan Jawatankuasa Pengurusan Projek (PMC) Kajian Gunung Singai.

Selain kajian ke atas baka tersebut, PMC katanya dengan kerjasama Univeriti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Redeems sedang menjalankan penyelidikan ke atas Gunung Singai bagi memelihara dan memulihara sumber biodiversiti dan ekopelancongan yang terdapat di sini.

Bagi menjayakan penyelidikan tersebut, UNIMAS menurut Prof Andrew Alex Tuin telah memperuntukkan geran berjumlah RM10,000 pada 2010 dan RM20,000 lagi daripada Kementerian Pelancongan Malaysia pada 2011 hingga 2012.

Projek ini turut menerima peruntukan daripada UNDP (United Union Development Program) sebanyak RM75,000 di mana perjanjian telah ditandatangani antara UNIMAS dan Redeems pada 20 Februari 2013.

Bagi menyokong dan menjayakan penyelidikan ke atas Gunung Singai, Nansian semalam memperuntukkan sejumlah RM20,000 kepada jawatankuasa yang mengendalikan penyelidikan ini.