Mantapkan pentadbiran kampung, rumah panjang

0

JKKK harus bergerak selari dengan kemajuan agar masyarakat nikmati pembangunan: Mawan

SARATOK: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) harus memantapkan sistem pentadbiran di peringkat kampung dan rumah panjang kepada suatu bentuk sistem lebih sistematik dan terancang.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, JKKK harus bergerak selari dengan kemajuan dan perkembangan dunia terkini agar masyarakat kampung dan rumah panjang bernaung di bawah JKKK turut menikmati pembangunan yang disalurkan kerajaan melalui insentif-insentif yang disalurkan melalui jawatankuasa terbabit.

“Peranan JKKK amat penting. Mereka yang dipilih menjadi ahli JKKK, sama ada di peringkat tertinggi hingga ke ahli biasa seharusnya mempunyai beberapa kategori seperti bermaklumat serta mengetahui tentang perkembangan semasa yang berlaku di sekitar dan luar kawasan mereka.

“Dengan ciri-ciri berkenaan, JKKK dapat bergerak dan bersaing dengan JKKK lain terutama dalam mendapatkan segala bentuk maklumat dan informasi yang dapat dikongsi bersama untuk dimajukan agar memberi manfaat kepada semua,” katanya pada perasmiann Seminar Pemerkasaan JKKK dan JKKKP Luar Bandar Peringkat Parlimen Saratok, semalam.

Seminar itu dihadiri kira-kira 650 orang terdiri daripada ahli-ahli JKKK daripada Parlimen Saratok merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dan DUN Krian.

Mawan turut menggesa JKKK agar memainkan peranan mereka khususnya kepada peringkat akar umbi dengan sebaiknya.

Tambahnya, JKKK harus bijak menggunakan peruntukan dan perbelanjaan diperuntukkan untuk digunakan ke arah yang betul dan memberi kesan positif kepada semua.

“Kita mahu JKKK, tuai rumah, ketua kampung dan ketua masyarakat memainkan peranan sebagai orang tengah di antara kerajaan dan peringkat akar umbi dengan cara yang betul dan adil.

“Jangan mengamalkan sikap berat sebelah dalam semua perkara, sebaliknya harus berlaku adil.

“Setiap masalah yang membelenggu masyarakat di peringkat akar umbi di bawah jagaan mereka harus dipandang berat dan dilaporkan.

“Dalam perkara ini, kita selaku pemimpin sentiasa terbuka kerana prinsip utama kita adalah berjuang dan membantu rakyat dengan menyalurkan segala pembangunan dan kemajuan bukan menabur janji-janji kosong.

Ahli Parlimen Saratok itu menegaskan bahawa Saratok masih memerlukan lebih banyak pembangunan terutama dalam kemudahan infrastruktur seperti kemudahan bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan lain-lain.

“Justeru, kita berharap pihak jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah, KEMAS serta jabatan bertanggungjawab memberi maklumat dengan segera kepada kita tentang masalah dihadapi rakyat di sesuatu tempat jagaan mereka.

“Dengan cara ini kita berharap dapat melakukan sesuatu dalam usaha membantu menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat di kawasan terbabit dengan segera,” ujar Mawan.

Terdahulu, Pengarah KEMAS Sarawak Abang Rabaiee Abang Muhi berkata program seumpama itu adalah pertama dianjurkan.

“Objektif kita adalah meningkatkan kesedaran kepimpinan JKKK dan merupakan usaha meningkatkan kesedaran sivik dan pengetahuan sebagai akses kepada pembanguan modal insan serta menjalin kerjasama pintar antara agensi-agensi lain.

“Usaha ini juga adalah untuk menjadikan JKKK membantu masyarakat luar bandar menikmati kemajuan hidup dengan kemakmuran arus perdana negara, memandangkan JKKK adalah sebuah organisasi teratas dan tulang belakang struktur pentadbiran di peringkat kampung,” katanya.

Pada majlis yang sama, Mawan mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Alumi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok yang bakal menyambut majlis ulang tahun ke-50 pada sebelah malamnya.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang seminar itu seperti ceramah tentang peranan dan tanggungjawab JKKK serta inisiatif-inisiatif disediakan kementerian yang boleh digunakan membangunkan JKKK dan masyarakat.