Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo tumpu kawasan kerap kemalangan

1

SIAP: Fadillah (tiga kanan), Hasbi (dua kanan) dan yang lainnya meninjau Jambatan Pandaruan di Limbang semalam yang bakal dirasmikan pada 8 Disember ini.

LIMBANG: Kerajaan mem­beri tumpuan terhadap usaha menangani semua kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan di Sabah dan Sarawak di bawah Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dilaksanakan secara berterusan sehingga 2025.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata untuk tujuan itu sejumlah RM500 juta diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani ka­wasan berisiko selain menaik taraf serta menyelenggara jalan rosak.

Beliau berkata, di bawah Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo juga, pem­binaan jalan empat lorong dirancang dilaksanakan pada masa depan termasuk lorong memotong di setiap satu kilometer untuk menangani kawasan kerap kemalangan dan pemendekan jalan.

“Untuk Sarawak, kita ke­mukakan cadangan membina lebih 100 lorong memotong, menangani kawasan kerap kemalangan dan penamba­ikan jalan terutama Jalan Sibu-Bintulu dan Jalan Bin­tulu-Miri,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja di Jambatan Pandaruan, di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Neg­eri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan Residen Bahagian Limbang Maria Hasman.

Beliau berkata, peruntukan yang ada adalah untuk me­nangani masalah kesesakan lalu lintas, menambah baik jalan bagi memberi kesele­saan kepada pengguna dan mengurangkan kemalangan jalan raya.

Fadillah berkata, kerajaan turut mengenal pasti empat kawasan kerap kemalangan di Betong untuk aktiviti penye­lenggaraan dan penambah­baikan 20 baikan jalan bermula Januari depan.

“Ia akan dilaksanakan mengikut empat fasa bermula Januari tahun depan dengan peruntukan keseluruhan ber­nilai RM20 juta,” katanya.

Jelasnya, ia dijangka siap dalam tempoh setahun atau dua tahun bergantung kepada jenis projek yang ada.

“Jika membabitkan kerja meluruskan jalan, ia akan mengambil masa panjang manakala bagi kerja penam­bahbaikan tanpa melibatkan kerja pembesaran jalan atau pengambilan tanah biasanya ia siap lebih cepat,” tam­bahnya.

Mengulas mengenai Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah berkata kerajaan bercadang untuk membina empat lorong kes­eluruhan bagi jalan di Sabah dan Sarawak.

“Buat masa ini, kita tid­ak akan membuat empat lorong keseluruhan tetapi fokus kepada pembinaan jalan memotong setiap satu kilometer menangani kawasan berisiko kemalangan dan pe­mendekkan jalan mengikut keutamaan,” jelasnya.

Tambahnya, jawatankuasa khas ditubuhkan bagi me­nangani dan mengenal pasti masalah penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Dalam pada itu, kerajaan tidak bercadang membina jalan menghubungkan Miri terus ke Limbang tanpa mela­lui Brunei Darussalam demi memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Kita melihat banyak perkara khususnya rakan kita Brunei untuk memeli­hara hubungan baik antara Sarawak, Sabah dan Brunei sebagai saudara serantau.

“Apapun keputusan yang kita lakukan biarlah, ia meme­nangkan kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, pada majlis makan malam dan taklimat Lembaga Pembangunan Perindustrian Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini, Fadillah menjelaskan bahawa sejumlah RM70 juta dipe­runtukkan kepada Limbang dan RM70 juta lagi kepada Lawas bagi pembangunan dan penambaikan jalan raya di kawasan itu.

Peruntukan itu membabit­kan projek diluluskan, per­ancangan dan pelaksanaan projek di kawasan utara negeri Sarawak.