Sarawak berpotensi besar dalam perniagaan francais

0

LAWAT: Hassan melawat gerai produk hasil daging Hassqeea yang turut terlibat dalam pameran Program Francais Komuniti Sarawak di Miri petang semalam.

MIRI: Sarawak dilihat berpotensi besar untuk maju dalam perniagaan francais dengan tawaran pakej modal yang mampu diceburi oleh semua lapisan masyarakat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek berkata Miri mampu muncul sebagai peneraju perniagaan itu melihat kepada lokasi yang strategik berham­piran Brunei Darussalam dan pintu masuk utama ke utara Borneo.

“Saya lihat Sarawak mem­punyai potensi cukup besar dalam konteks perniagaan francais.

“Miri dekat dengan Brunei. Miri pintu masuk. Oleh itu, rebutlah peluang ini.

“Saya cukup yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mah­mud dengan struktur yang baik, perniagaan francais mampu berjaya di negeri ini,” katanya pada Program Francais Komuniti Sarawak di sini petang semalam.

Beliau berkata, program memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kewujudan perniagaan fran­cais menawarkan modal per­mulaan kecil iaitu kurang RM50,000 menerusi sistem francais mikro.

Program turut melibatkan francaisor (syarikat francais) menawarkan sistem francais makro melebihi RM50,000, bertujuan memberi alternatif kepada orang ramai memilih sektor perniagaan francais yang diminati.

Sejak 2011 sehingga kini, Program Francais Komuniti mencatat pencapaian ang­garan nilai belian francaisi berjumlah RM43.4 juta bagi francais mikro dan RM189.3 juta bagi francais makro den­gan kejayaan mewujudkan sejumlah 284 francaisi mikro baharu.

Sehingga 28 November ini, sebanyak 687 syarikat francais terdiri daripada pel­bagai sektor didaftarkan di negara ini.

“Bidang francais juga mem­berikan sumbangan besar ke­pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini di mana pada 2012, sejumlah RM23.6 bilion disumbangkan kepada pendapatan negara melalui industri francais.

“Pada tahun depan, jumlah ini dapat ditingkatkan dengan sasaran sejumlah RM24.3 bilion,” jelasnya.

Beliau menambah, sehingga hari ini sebanyak 55 syarikat francais tempatan berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke 52 negara dengan pembukaan sejumlah 1,962 outlet di seluruh dunia.

Dalam pada itu, seban­yak 20 syarikat francais serta agensi kementerian dan Persatuan Francais Ma­laysia (MFA) terlibat dalam program dua hari itu yang berakhir semalam.

Program diadakan di Johor Bahru untuk zon selatan, Kuantan untuk zon timur dan Kuala Lumpur untuk zon tengah.

Hadir sama Ketua Setiausa­ha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim, Penga­rah Bahagian Pembangunan Francais Datuk Mohd Na­sir Noryakin dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepeng­gunaan Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.