UCSI University Kampus S’wak sedia pendidikan masakan Korea

0

KUCHING: UCSI University Kampus Sarawak tampil sebagai universiti pertama di Malaysia yang menyediakan pendidikan masakan Korea selepas menandatangani memorandum perjanjian bersama Perbadanan Perdagangan Makanan dan Perikanan Korea pada Malam Korea di kampus itu Jumaat lepas.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan Profesor Dr Teoh Kok Soo mewakili UCSI menandatangani dokumen manakala perbadanan itu diwakili Pengarah Urusannya Lee Seong Bok.

Majlis itu disaksikan oleh Duta Republik Korea Ke Malaysia Cho Byung-Jae bersama delegasi serta wakil-wakil daripada Kementerian Pelancongan Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sarawak.

Program itu adalah selaras dengan usaha Kerajaan Korea untuk mempromosikan budaya, makanan dan muzik di seluruh dunia.

Objektif acara Malam Korea adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap masakan Korea dan budaya serta penyampaian makanan Korea, pameran dan persembahan oleh pelajar dari pengurusan hotel dan program seni kulinari.

Malam itu turut menyaksikan Ketua Cef Kim Yong Hyun menyampaikan demonstrasi masakan untuk mempromosikan masakan Korea.

Byung-jae berkata, kerjasama itu dapat menggalakkan pertukaran budaya antara kedua-dua negara dan dapat memupuk persahabatan di kalangan rakyat.

“Ini adalah untuk menjaga hubungan baik bukan sahaja melalui politik atau pertukaran ekonomi tetapi juga budaya.

“Kami bangga bahawa budaya kami telah menjadi daya tarikan kepada Malaysia dan bahagian lain di dunia. Korea juga tertarik dengan budaya Malaysia.

“Tahun lepas, terdapat kira-kira 300,000 orang Korea datang ke Malaysia manakala 200,000 rakyat Malaysia mengembara ke Korea,” katanya.

Beliau juga menyebut bahawa budaya berbilang kaum di Malaysia serta memiliki pelbagai destinasi pelancongan juga telah menarik kira-kira 25 juta pelancong termasuk empat juta pelancong ke Malaysia dan Sarawak.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan Mary Wan Mering, Pengarah Strategi dan Pengurusan Program Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Michael Sim, wakil rangkaian restoran barbeku Daorae Korean Lu Huong Ying dan Dekan Fakulti Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti UCSI Kampus Sarawak Prof Madya Dr Li Jianyao.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara dan kursus yang ditawarkan di UCSI University Kampus Sarawak dialu-alukan menghubungi 082-455255 atau lawatan www.ucsiuniversity.edu.my .