Kursus Tahsin Al-Quran pada 28-29 Disember

0

KUCHING: Persatuan Guru Al-Quran Bahagian Kuching (PGQBK) akan menganjurkan Kursus Tahsin Al-Quran pada 28 dan 29 Disember ini.

Menurut kenyataan Setiausaha PGQBK Sahmat Meterang, kursus tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak.

“Kursus ini diadakan sebagai persediaan para peserta yang akan menyertai Ujian Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah pada tahun depan,” ujar Sahmat.

Kursus tersebut akan diadakan di Pusat Penerangan Islam, Jalan Ong Tiang Swee dan akan dibimbing oleh para qari dan qariah dari luar negara.

Selain itu, hakim-hakim kebangsaan Datuk Ustaz Ahmad Faizul Ghazali dari Pahang, Ustaz Ismawi Duet dan Ustazah Amnah Ayub akan turut hadir bagi membimbing para peserta.

“Kursus ini disasarkan kepada guru-guru al-Quran, qari dan qariah, peserta tilawah al-Quran, para imam serta pelajar al-Quran dari sekitar kawasan Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Sarikei.

“PGQBK berperanan membela nasib guru-guru al-Quran serta para qari dan qariah yang berbakat di samping mengasah bakat baharu dan memastikan mereka terus bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan tilawah al-Quran dengan melatih mereka supaya menjadi guru al-Quran kelak,” jelas Sahmat.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Kursus Tahsin Al-Quran anjuran PGQBK serta program-program lain anjurannya, sila hubungi Sahmat Meterang di talian 019-8883479 atau Nordin Putit di talian 019-4597138 atau Awang Ibrahim Awang Sahabudin di talian 017-8078272.