Lelaki cedera diserang dengan senjata tajam

0

KUCHING: Seorang lelaki dari Kampung Bintangor cedera setelah diserang dengan senjata tajam dipercayai taji di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, malam kelmarin (Sabtu).

Mangsa berusia 26 tahun bersama rakannya yang berusia 25 tahun dikatakan didatangi beberapa lelaki tidak dikenali yang meminta wang daripada mereka.

Setelah diberitahu tidak mempunyai wang, salah seorang daripada kumpulan itu bertindak memukul mangsa sehingga dia terjatuh manakala seorang lagi lelaki menikamnya menggunakan taji.

Bagaimanapun, rakan mangsa terus menghalang kumpulan tersebut menggunakan pengunci tambahan motosikal dan mereka berdua kemudiannya melarikan diri.

Kedua-dua mereka kemudiannya ke sebuah hotel di Jalan Mathies dan meminta bantuan daripada pengawal keselamatan dan seterusnya membuat laporan polis.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki ekoran insiden pada jam 8 malam itu.