Rakyat Malaysia bertuah kerana negara sentiasa aman, makmur dan bahagia

0

TAHNIAH: Saperi (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang sambil diperhatikan
oleh Suriani (tiga kiri), Sharifah Ranimah (dua kiri), Kamisita (kiri) serta Hashim (tengah) semasa berlangsungnya program berkenaan malam kelmarin.

SRI AMAN: Rakyat Malaysia sememangnya cukup bertuah kerana negara kita sentiasa aman, makmur dan bahagia, kata Pegawai Khas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Mohd Saperi Abdul Karim.

Menurut beliau, bukan setakat itu sahaja, rakyat berbilang kaum juga hidup dalam suasana yang harmoni dan menghormati kaum“Oleh itu, tidak pernah timbul masalah rusuhan kaum seperti di beberapa negara di dunia dan oleh yang demikian, maka negara kita dapat melancarkan agenda pembangunan sehingga negara kita dapat maju dan berdaya saing dengan negara-negara lain dalam pelbagi bidang,” ujarnya.

Beliau yang mewakili Datuk Seri Rohani Abdul Karim selaku Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap menutup rasmi Program Jalinan Mesra Kaswasan Rukun Tetangga (KRT) 2013 anjuran KRT Kampung Baru Hilir dengan kerjasama Sukarelawan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Dewan Serba Guna, Kampung Hilir dekat sini malam kelmarin.

Katanya rakyat Malaysia seharusnya gembira kerana mempunyai masyarakat yang tidak mengira bangsa dan agama dan mempunyai sikap penyanyang.

“Sikap tolong-menolong, tidak mengira keturunan, bangsa dan agama sering kita lihat di mana-mana lebih-lebih lagi pada masa kecemasan seperti kebakaran, bencana banjir dan sebagainya.

“Saya melihat semua persatuan dan pertubuhan sememangnya sentiasa bersedia menghulurkan segala bantuan apabila berlakunya bencana atau pertolongan diperlukan.

“Saya juga berharap sikap seperti ini kita kekalkan supaya semua lapisan masyarakat akan hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Saya juga yakin dengan perpaduan yang erat dan harmonisantara rakyat berbilang kaum, politik yang stabil dan dasar-dasar kerajaan yang baik, maka kita akan terus memberi sumbangan-sumbangan yang perlu bagi masyarakat kita yang kurang bernasib baik agar mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa”, tambahnya.

Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman Suriani Yusuf, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Bakthiar Mathan, Pemanca Mas Shamsiah Maslem serta Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga Kamisita Wasli.

Pada majlis berkenaan, Saperi yang mewakili Rohani turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM3,000 kepada KRT Kampung Tengah dan RM 2,000 kepada KRT Kampung Baru Hilir.

Dalam pada itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan Pertandingan Masakan Menu Sihat, Pertandingan Ratu Kebaya Nyonya, Gubahan Bunga Hantaran Berlipat dan Kilauan Emas.