Pelbagai program untuk tingkat ekuiti Bumiputera Sabah, Sarawak

0

Sasaran 30% pemilikan ekuiti dalam sektor korporat menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang dan akan meneruskan pelbagai program untuk meningkatkan kadar pemilikan saham yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata pelbagai program dilaksanakan kerajaan termasuk memperkukuh peranan agensi amanah dan institusi Bumiputera sedia ada antaranya Majlis Amanah Rakyat, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji.

Katanya kerajaan turut memberi penekanan kepada instrumen seperti pemilikan institusi bagi ekuiti korporat dan diperluaskan merangkumi hartanah yang membolehkan pengumpulan serta penggembelengan dana.

“Kerajaan perkenal program memiliki unit amanah saham di bawah PNB dan Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

“(Juga) pelbagai peluang perniagaan, pembiayaan, keusahawanan dan pembangunan modal insan untuk memartabatkan ekonomi Bumiputera dan pegangan ekuiti melalui inisiatif di bawah program Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) yang mendakwa kerajaan tidak menyediakan program khusus untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam ekonomi.

Ahmad berkata kerajaan menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat menjelang 2020.

Katanya pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada 1970 kepada 23.5 peratus pada 2011.

“Bagaimanapun, ia masih belum capai sasaran 30 peratus dan kita hanya ada enam tahun sebelum 2020,” katanya. — Bernama