10 ahli sindiket dadah ditahan, heroin RM1.38 juta dirampas

0

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan 10 orang termasuk seorang wanita dan merampas 37kg dadah disyaki heroin bernilai RM1.38 juta selepas menyerbu sebuah rumah yang digunakan untuk memproses dadah itu di Ara Damansara pada Khamis lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata ketika serbuan itu, lima lelaki sedang memproses dadah.

“Hasil siasatan lanjut, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita di sekitar Puchong, Cheras dan Sentul keesokannya,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Dua daripada suspek lelaki merupakan warga India manakala suspek yang lain warga tempatan, mereka berusia antara 22 dan 50 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Lima lelaki tempatan itu memiliki rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan kesemua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Shukri berkata selain dadah, polis juga merampas peralatan, bahan dan ramuan menghasilkan heroin seperti serbuk kafein, serbuk eno, pati perasa pandan, ibu heroin serta menyita wang tunai, barang kes dan kenderaan bernilai RM505,181.

Beliau berkata sindiket dadah itu beroperasi kira-kira tiga bulan dan dadah itu adalah bagi pasaran Lembah Klang.

Mohd Shukri juga memberitahu pemberita, polis sedang memburu beberapa suspek yang terlibat dalam kes kehilangan barangan tembaga seberat 100 tan bernilai RM2.3 juta baru-baru ini di Klang.

Beliau juga mengesahkan penahanan dua anggota polis berumur 29 dan 31 tahun yang memainkan peranan sebagai ‘pemudah cara’ dalam jenayah itu pada 23 Nov lepas.

Ditanya perkembangan kes pembunuhan pegawai Ambank Norazita Abu Talip, beliau berkata suspek dikenali sebagai Joemar masih belum dapat dikesan. — Bernama