Tiada keadaan cuaca luar biasa di S’wak hingga Mac: Jabu

0

SIAP SIAGA: Jabu dan Fatimah memberi penjelasan berhubung
keadaan cuaca di seluruh Sarawak bagi tempoh Disember hingga
Mac tahun depan pada sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Tidak ada keadaan cuaca luar biasa diramalkan di seluruh Sarawak bagi tempoh Disember hingga Mac tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Biarpun demikian, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan terus berada dalam keadaan siap siaga, lengkap dengan aset masing-masing untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Malah, katanya, sekiranya keadaan memaksa, setiap petugas akan diagihkan sebaik mungkin sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

“Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, tidak ada keadaan cuaca luar biasa atau malapetaka diramalkan dari tempoh sekarang hingga Mac depan.

“Kita menyediakan lebih 600 Pusat Pemindahan dan Pangkalan Hadapan, namun kemungkinan besar ia tidak diperlukan jika berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi tersebut,” ujarnya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha.

Jabu turut menyifatkan ramalan kaji cuaca itu sebagai berita baik kepada golongan petani serta nelayan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan golongan nelayan untuk memeriksa ramalan kaji cuaca harian mengikut zon sebelum turun ke laut.

Beliau terdahulu mempengerusikan mesyuarat yang membentangkan persiapan negeri menghadapi musim banjir 2013/2014 serta menyelaras pelan tindakan akan diambil setiap agensi sekiranya banjir berlaku di Sarawak.

Antara yang memberi taklimat ialah Majlis Keselamatan Negeri, Jabatan Meteorologi Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Persiapan Pusat Pemindahan dan Pangkalan Hadapan juga telah dikemas kini di seluruh negeri di mana sejumlah 650 pusat pemindahan disediakan.

Ia berupaya menampung seramai 221,3590 mangsa serta sejumlah 82 Pangkalan Hadapan dikenal pasti untuk pihak JKM menempatkan stok bantuan bahan makanan sekiranya kawasan itu terputus hubungan akibat bencana banjir.

Kesemua jawatankuasa juga telah mengadakan mesyuarat persiapan peringkat bahagian dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir 2013/2014, malah agensi serta jabatan terlibat turut bersiap siaga dengan aset dan tenaga kerja masing-masing.

Selain itu, portal bencana Majlis Keselamatan Negara turut dijadikan pusat rujukan maklumat bencana banjir semasa sebagai satu daripada langkah penyelarasan kerajaan negeri dan pusat.