Pilih bidang bersesuaian dengan kemampuan diri

0

LUNDU: Calon peserta Program 1AZAM perlu memilih bidang yang sesuai dengan kemampuan diri bagi memastikan keberkesanan serta berpotensi untuk diperkembangkan ke tahap yang lebih tinggi.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kejayaan Program 1AZAM bergantung kepada beberapa faktor.

Antara faktor penting ialah komitmen daripada peserta program itu sendiri untuk memastikan matlamat program yang diperkenalkan oleh kerajaan itu dicapai.

“Tahun ini, genap setahun kementerian menjadi penyelaras kepada program peningkatan pendapatan kepada golongan yang berpendapatan rendah atau lebih dikenali sebagai Program 1AZAM.

“Sehingga 20 November 2013, sejumlah 7,219 daripada sasaran 7,500 ketua isi rumah mendapat manfaat bantuan yang dikhaskan kepada golongan berpendapatan rendah. Kita berharap objektif program ini akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Business Matching’ Program 1AZAM Tahun 2014 Daerah Lundu yang berlangsung di Dewan Masyarakat di sini semalam.

Fatimah berkata, bagi memastikan kejayaan berterusan Program 1AZAM beberapa langkah penambahbaikan baharu diperkenalkan, selain melaksanakan kerja-kerja pemverifikasian oleh pembanci.

Dari aspek pelaksanaan dan pemantauan program, katanya, kementerian mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan setiap jawatankuasa Focus Group Daerah menjalankan proses business matching bantuan 1AZAM dengan penerima bantuan yang berpotensi.

Di samping itu, katanya, usaha pengemaskinian maklumat turut dipertingkatkan melalui penubuhan Bilik Operasi 1AZAM di kementerian serta menubuhkan Pusat Latihan Kemahiran 1AZAM di Jalan Nanas Barat untuk memberi latihan dan kemahiran bagi meningkatkan sumber pendapatan golongan miskin bandar.

Mengulas mengenai program itu, ia disertai seramai 352 calon peserta Program 1AZAM Daerah Lundu bagi tahun 2014 melibatkan empat jenis bidang yang ditawarkan iaitu AZAM Tani, AZAM Niaga, AZAM Khidmat dan AZAM Kerja.

Antara agensi pelaksana yang terlibat pada program itu ialah Unit Usahawan Bumiputera (UPUB) Ketua Menteri, Jabatan Pertanian Sarawak Daerah Lundu, GIATMARA Negeri Sarawak, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), MARA Negeri Sarawak, FELCRA Bhd Sarawak, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sarawak, JKM Negeri Sarawak, Rama Resources Corporation (M) Sdn Bhd, Akademi Binaan Malaysia, EduQuest Sdn Bhd dan YAHOS Sdn Bhd.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi, Residen Bahagian Kuching Abang Shamsuddin Abang Seruji, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak Masnah Abang Abu Bakar dan Pegawai Daerah Lundu Azmi Bujang.