Mangsa di Pahang masih melebihi 40,000 orang

0

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang berkurangan kepada 40,399 berbanding 40,819 orang pagi semalam.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga jam 4 petang semalam kesemua mangsa daripada 11,872 keluarga itu ditempatkan di 149 pusat pemindahan dari 162 penempatan di sembilan daerah yang terjejas banjir.

“Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 34,090 orang di 42 pusat pemindahan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Di Pekan, masih terdapat 3,385 mangsa di 31 pusat pemindahan, Temerloh (1,007 orang di 22 pusat pemindahan), Maran (921 di 19 pusat), Jerantut (505 di 11 pusat), Raub (213 di 10 pusat), Bera (193 di tujuh pusat), Lipis (49 di empat pusat) dan Rompin (36 di tiga pusat).

Sementara itu, hanya satu laluan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas air naik kira-kira satu meter di Km16 Jalan Temerloh-Bera. — Bernama