Masyarakat sifatkan ‘Sibu Bike Week’ program bijak

0

SIBU: Masyarakat menyifatkan ‘Sibu Bike Week’ program bijak dalam membentuk komuniti permotoran yang positif di samping memfokuskan golongan remaja agar terhindar daripada aktiviti tidak sihat.

Seorang pendidik, Mastura memberitahu penganjuran ‘Sibu Bike Week’ mampu menjadi saluran untuk mempromosikan hal-hal berkaitan permotoran serta mewujudkan satu kelompok komuniti ‘biker’ yang kukuh di negeri ini.

“Apa yang dilihat aktiviti sebegini mempunyai objektif tersendiri selain menghimpun penggemar motosikal berkuasa tinggi tetapi impaknya mampu mempengaruhi masyarakat.

“Yang cuba saya perkatakan memfokuskan golongan anak muda sekarang lebih-lebih lagi gejala ‘mat rempit’ kian berleluasa.

“Tetapi, melalui pendedahan serta matlamat penganjuran dalam ‘Sibu Bike Week’ berupaya membuka minda serta mencerminkan anak muda ke arah lebih positif perlu diikuti bukannya landasan yang salah di sisi undang-undang,” katanya ditemui di sini semalam.

Beliau menyarankan agar diwujudkan penglibatan pihak berkuasa yang berkaitan dengan dunia permotoran seperti PDRM, JPJ selain syarikat pengedar motosikal mahupun aksesori.

“Kesinambungan daripada kewujudan pameran/kaunter pihak berkuasa itu lebih membawa ke arah perspektif dunia permotoran lebih baik dan tidak menimbulkan pelbagai masalah.

“Ini menjurus kepada anak muda kita, bila ada pihak PDRM, polis trafik atau JPJ bersama mereka lebih terbuka untuk mengetahui segala perkara berkaitan undang-undang mahupun spesifikasi pengubahsuaian motosikal atau kereta yang dilarang berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

“Oleh demikian, ini harus dilaksanakan lebih baik untuk masa akan datang merangkumi keseluruhan aspek berkaitan permotoran.

“Kalau boleh cuba tangani gejala ‘mat rempit’ sebaliknya memupuk nilai murni serta minat akan bidang permotoran ke arah positif. Secara langsung anak muda akan terfikir sendiri jika hati mereka terbuka untuk masa depan,” jelas Mastura.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati ribuan ‘bikers’ serta para pengunjung membanjiri Dataran Sibu Fasa II untuk melihat lebih dekat motosikal berkuasa tinggi serta memeriahkan program ‘Sibu Bike Week’ yang memasuki edisi ketiga tahun ini.

Sementara itu, Raden Azamry Raden Perhan dari Rebel Angel MC Malaysia berkata penganjuran itu memberi peluang terbaik kepada golongan belia untuk menyerlahkan kreativiti dalam bidang permotoran.

“Golongan belia lebih teruja melibatkan diri dalam aktiviti ini lebih-lebih lagi mereka cukup kreatif mengubah suai kenderaan tanpa menyalahi undang-undang sedia ada.

“Malah, perlu kita berikan penekanan bahawa kreatif itu seharusnya bertetapan, sesuai dengan spesifikasi yang patut dilakukan dan tidak wujud aspek dilarang dalam pengubah suai mereka.

“Saya yakin ia terbukti dengan kejayaan serta respons yang diterima pada kali ini. Malah, golongan belia lebih komitmen serta terbuka hati untuk berpersatuan, menyertai aktiviti permotoran lebih sihat melihat apa yang terjadi ini.

“Maka tidak mustahil untuk diperkatakan bahawa segala bentuk gejala sosial seperti ‘mat rempit’ dan dadah mampu dikurangkan indeksnya jika impaknya cuba berkesan dari semasa ke semasa dengan setiap pengisian program,” katanya.

Beliau mengharapkan agar penganjuran ‘Sibu Bike Week’ berterusan dan menjadi salah satu aktiviti utama yang bakal menghimpun semua ‘bikers’ mahupun kaki permotoran sehingga peringkat antarabangsa.