Biar SUPP selesaikan masalah mereka: Taib

0

TAIB

Beliau bertegas tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman dihadapi parti itu

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tetap bertegas tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman dihadapi parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Beliau berkata tiada pihak termasuk dirinya selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri dapat menyelesaikan masalah dihadapi parti itu melainkan ahli atau pucuk kepimpinan parti itu sendiri.

“Saya tidak akan campur tangan. Saya biarkan mereka menyelesaikan sendiri masalah mereka.

“Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan mereka menyelesaikannya sendiri.

“Tiada pihak atau sesiapa pun dapat menyelamatkan mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas me-rasmikan Majlis Penyam-paian Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak (AKKMS) di sini semalam.

Taib menambah, sebagai Pengerusi BN Negeri sudah tentu beliau mahu melihat masalah dalaman SUPP selesai segera kerana ia sudah berlarutan agak lama.

“Ya, saya tahu orang sudah mula bosan dengan perbalahan dalam SUPP… saya tidak boleh mengatakannya tetapi orang ramai mengatakannya.

“Apa yang boleh saya katakan, anda tidak boleh mendesak orang lain.

“Apa yang saya harapkan ialah mereka dapat menyelesaikan masalah parti bersama dan jika tidak dapat, saya tidak dapat berbuat apa-apa… cuma saya mahu melihat Cina bersatu dalam sebuah organisasi,” ujarnya.

Taib pada masa sama menafikan beliau menghadiri mesyuarat dengan SUPP atau lebih khusus kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh yang merupakan Pengerusi SUPP Cawangan Sibu malam Isnin lepas seperti dilaporkan akhbar tempatan berbahasa Inggeris.

“Saya tidak pernah meng-adakan sebarang pertemuan atau mesyuarat dengan SUPP… saya tidak tahu kenapa ada laporan berita mengatakan saya meng-adakan pertemuan dengan parti itu.

“(Mungkin) laporan itu hanya mahu mengheret saya ke dalam masalah dalaman parti itu,” tegasnya.

Semalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris memetik wakil kumpulan itu Datuk Dr Jerip Susil sebagai berkata, Wong bersama beberapa pemimpin yang sehaluan dengannya bertemu dengan Taib pada malam Isnin lepas bagi mendapat nasihat.

“Kami tidak akan bertindak balas sebaliknya mencari kebijaksanaan untuk bergerak ke hadapan.

“Ini adalah cabaran dan sangat penting. Kami mahu mengambil pendekatan komprehensif dan berbaik bagi menyelesaikan isu ini.

“Kami tidak bersedih atau emosi dengan apa yang berlaku. Tiada guna untuk membuat keputusan terburu-buru. Kami mahu mendapat-kan nasihat daripada pucuk kepimpinan BN,” kata Dr Jerip.

Dr Jerip menambah, selain bertemu dengan Taib kumpulan Wong turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan menyifatkan pertemuan itu berjaya.

Usaha mengadakan pertemuan dengan pucuk kepimpinan BN dilakukan selepas Wong menerima surat tunjuk sebab daripada Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin.

Selain Wong, empat lagi pemimpin atau ahli kumpulan Wong menerima surat sama.