Lapan ahli veteran SPDP terima anugerah paling lama berkhidmat

0

MARUDI: Seramai lapan ahli kanan atau veteran Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP) dari bahagian Marudi dan Telang Usan, telah menerima anugerah paling lama berkhidmat dan menjadi ahli parti yang dikenali sebagai Ahli Kanan SPDP.

Anugerah berupa pingat telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau yang mewakili Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom pada Majlis Makan Malam Pra-Krismas SPDP di Dewan Suarah Baram baru-baru ini.

Para penerima terbabit ialah mereka yang telah lama menjadi ahli dan berkhidmat dengan setia dalam parti itu selama lebih 20 tahun.

Bagaimanapun pada majlis berkenaan, pemberian anugerah tersebut dipertikaikan oleh sesetengah ahli yang memberitahu bahawa SPDP belum lagi mencapai usia 20 tahun, selepas ia berpecah daripada SNAP dan ditubuhkan selepas mesyuarat di Rajah Court Hotel di Ku-ching.

Malah menurut mereka ia mungkin merujuk kepada ahli veteran yang berusia dan telah menyertai SNAP dan seterusnya menyertai SPDP sejak awal penubuhan.

Sementara itu, penerima pingat pada malam tersebut ialah Kalang Amie, Kang Siew Low, Ngelingkong Entuba dan Adenan Ahmad daripada SPDP Bahagian Marudi manakala dari Telang Usan ialah bekas penghulu Jok Ding, Penghulu Jalong Tanyit, bekas Kaunselor Kalang Wan dan bekas Kaunselor Lihan Imang.