Mitsubishi Motors Malaysia lancar program Mitsubishi E-Heroes

0

UJI PANDU: Oda (kanan) dan Ipoi (dua kanan) merakam kenangan dengan motor elektrik i-MiEV pada majlis pelancaran bersama kanak-kanak dan tetamu lain.

KUCHING: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini melancarkan program Mitsubishi E-Heroes yang merangkumi empat aspek iaitu kuasa elektrik, tenaga, alam sekitar dan bumi, kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM Tetsuya Oda.

Menurut Oda, program E-Heroes itu memperkenal ciptaan kereta mainan kanak-kanak yang selamat diguna selain mempromosi ekomesra.

“Program ini menawarkan kereta berkuasa elektrik untuk kanak-kanak di samping turut mempromosi kesedaran tentang peranan kereta mainan kanak-kanak yang bersifat ekomesra pada masa akan datang.

“Selain itu, program ini pada mulanya telah diperkenalkan di Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu selain turut menjelajah ke Terengganu, Johor Bahru dan Kota Kinabalu,” katanya ketika berucap melancarkan program E-Heroes di Muzium Sarawak, di sini semalam.

Selain itu katanya, sejak pelancaran program itu, seramai 70,000 kanak-kanak mendapat manfaatnya.

Pada masa sama, Oda turut mengambil kesempatan memperkenalkan ciptaan terbaharu syarikat itu yang dinamakan Inovatif Kenderaan Elektrik Mitsubishi (i-MiEV) yang dicipta 100 peratus dengan kuasa elektrik untuk perjalanan yang lebih lancar.

Katanya setiap ciptaan MMM mementingkan keselamatan persekitaran selain menyifatkan ia sebagai teras utama tanggungjawab MMM.

“Kami percaya, dengan batas teknologi canggih selain semangat kami untuk mencipta ciptaan baharu, ia mampu mengetuai perjalanan ke masa depan dalam bidang permotoran baharu.

“Selain itu, kami percaya dengan pemanduan yang selamat, bersih serta tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Pengarah Muzium Negeri Ipoi Datan, berkata pihaknya menyokong program anjuran MMM terutama dalam usaha memelihara bumi dan memupuk kanak-kanak untuk mencintai alam sekitar.

“Apa jua program berkaitan kecintaan kepada alam sekitar terutama dalam nilai pendidikan, saya yakin dan percaya akan sentiasa diterima oleh orang ramai dan menjadi tanggungjawab MMM untuk memastikan kejayaan program ini,” katanya.

Tambahnya, Muzium Sarawak merupakan lokasi sesuai untuk menunjukkan pendedahan terutama berkaitan alam sekitar dan motor elektrik i-MiEV.

Orang ramai berpeluang menguji pandu motor elektrik itu di Petrosains Dino Trek 2 yang terletak di Muzium Sarawak bermula 10 Disember hingga 7 Januari 2014.