Kedudukan industri kayu Sarawak cukup teguh

0

RAI BERSAMA: Taib dan Awang Tengah memotong kek Ulang Tahun Ke-40 PUSAKA sambil disaksikan
oleh Jabu serta tetamu-tetamu kehormat lain. — Gambar Muhammad Rais Senusi

KUCHING: Industri kayu Sarawak mempunyai kedudu­kan yang cukup teguh dan berupaya bertahan walaupun ketika berlaku penurunan harga balak atau produk kayu dalam pasaran perkayuan dunia.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata industri tersebut kini telah menyum­bang sebanyak RM7.2 bilion setahun kepada negeri ini.

“Ini adalah satu kejayaan yang cukup baik di mana ia tel­ah menunjukkan pertumbuhan lapan kali ganda daripada masa saya mula-mula mengetuai industri kayu sebagai menteri,” katanya sambil menambah Sarawak kini juga telah dikenali dengan keupayaannya menan­gani kayu tropika.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-40 Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di Pusat Konven­syen Borneo Kuching di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Taib yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber men­jelaskan bahawa Sarawak juga tidak lagi mempunyai masalah besar mengenai soal kayu asli.

Bagaimanapun, beliau ber­kata untuk memperluaskan lagi asas industri perkayuan negeri supaya dapat mengeluarkan lebih banyak bahan daripada kayu-kayan, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk membuka estet kayu ditanam di seluruh negeri yang merangkumi kawasan seluas satu juta hektar.

“Ini adalah satu program untuk menjamin supaya ke­jayaan dalam industri kayu kita tidak terbeku selepas ia mencapai kemuncak kerana ini mungkin berlaku kalau keuntungan tidak berkembang atau bertambah.

“Dalam pada itu, kita juga akan berupaya mengeluar­kan sekurang-kurangnya dua setengah kali ganda kayu dan ini pastinya dalam masa 20 tahun akan memberi satu asas usaha yang baik selain dapat menarik pakar-pakar per­hutanan untuk menjalankan tugas yang lebih mencabar,” katanya.

Justeru, Taib berkata beliau kagum dengan PUSAKA atas kejayaan memberangsangkan yang dicapai dalam tempoh 40 tahun penubuhannya.

“Saya kagum dengan se­mangat PUSAKA kerana telah berjaya memperluaskan bidang sendiri di mana ia tidak hanya menjalankan kerja dalam bidang perkayuan tetapi telah membuka kawasan baharu dan mendirikan bandar baharu di Tanjung Manis.

“Malah, PUSAKA juga wajar diberi galakan untuk menjalankan tugasnya dalam bidang lain kerana ia mempu­nyai sumber kewangan yang cukup baik,” katanya.

Sementara itu, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Setia PUSAKA oleh Taib kepada seramai 13 kakitangan iaitu Yii Puong Hoo, John Wong Yiik Hong, Awang Ali Awang Putit, Junaidah Johari, Aluie Boh, Eda Edan, Masni Moha­mad Ismail, Ruth Sibat @ Nur Mithali Abdullah, Aida Daud, James Weng, Saili Lam, Jack Jangu dan Sariah Saibon.

Selain itu, Taib turut menyempurnakan upacara Pelancaran Buku 40 Tahun PUSAKA dan seterusnya memotong kek ulang tahun.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Per­ancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Moha­mad Morshidi Abdul Ghani dan Pengurus Besar PUSAKA Datu Sarudu Hoklai.