Usaha tangani kecurian elektrik diperhebat

0

KUCHING: Anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCo Berhad (SESCo) kini menambah 12 anggota pasukan penguat kuasa pemeriksaan meter bagi menangani masalah kecurian elektrik di negeri ini.

Menurut jurucakap SESCo menerusi kenyataan akhbar semalam, dengan penambahan 12 anggota baharu itu, SESCo kini mempunyai 30 pasukan penguat kuasa pemeriksaan meter elektrik terlatih di seluruh Sarawak.

Penambahan itu juga sebagai tambahan kepada jumlah pasukan penguat kuasa sedia ada supaya kerja-kerja pemeriksaan meter elektrik dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Kes kecurian elektrik masih lagi berleluasa dan ia merugikan kerajaan negeri dan menerusi kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Pemeriksaan Elektrik (EIU) di bawah Kementerian Kemudahan Awam, SESCo berjaya mengurangkan kerugian akibat kecurian elektrik daripada RM140 juta pada 2010 kepada RM70 juta pada masa kini.

“Namun, RM70 juta masih lagi satu nilai kerugian yang tinggi bagi kerajaan negeri kerana perbuatan kecurian elektrik ini dan ia perlu ditangani,” kata jurucakap SESCo.

Pasukan Pemeriksaan Meter SESCo menghadapi pelbagai rintangan sewaktu menjalankan pemeriksaan seperti ugutan dan sering diekori.

Bagaimanapun ia bukanlah satu penghalang untuk SESCo meneruskan operasi pemeriksaan meter dan kesemua insiden dilaporkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, 12 anggota pasukan pemeriksaan telah tamat menjalani latihan yang dianjurkan bersama EIU dan SESCo.

“Dalam latihan itu, mereka dilatih bagaimana mengesan bukti meter yang dirosakkan dan proses dokumentasi untuk kegunaan di mahkamah.

“Selain itu, mereka juga dilatih bagaimana untuk mendekati pelanggan dengan berhemah dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” tambahnya.

Menyentuh perkembangan kes kecurian elektrik di negeri ini, jurucakap SESCo mendedahkan bahawa Sibu masih lagi mencatat jumlah kerugian akibat kerucian elektrik tertinggi iaitu RM40 juta diikuti Miri (RM18 juta) dan Kuching (RM10 juta).

SESCo menyasarkan untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan pelanggan domestik, komersial dan industri di seluruh negeri.

“Setakat ini, 43,420 pelanggan domestik diperiksa yang mana 13.3 peratus didapati terlibat dalam kecurian elektrik.

“Bagi pelanggan komersial dan industri pula, masing-masing 44,731 dan 4,595 telah diperiksa dan daripada jumlah itu 12.4 peratus pelanggan komersial dan 4.2 peratus pelanggan industri didapati terlibat dalam kecurian elektrik,” dedahnya.

Tegasnya, daripada 92,566 meter yang diperiksa 11,478 meter didapati dirosakkan.

Justeru, SESCo akan meneruskan usaha memeriksa meter elektrik di seluruh kawasan di negeri ini bagi membendung masalah kecurian elektrik.

Mereka yang didapati terlibat dalam kecurian elektrik akan didakwa di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya jika disabit bersalah.

SESCo meminta kerjasama berterusan daripada orang ramai untuk melaporkan kecurian elektrik di kawasan masing-masing.