Pembangunan Sarawak dipuji

0

UNTUK KENANGAN: Jabu (dua kiri) menerima cenderamata daripada Mandela semasa kunjungan hormat delegasi ACYPL ke atas beliau, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Steve dan Matt.

Delegasi AS kagumi keseimbangan kemajuan, komitmen kerajaan bangunkan rakyat

KUCHING: Tujuh delegasi dari Amerika Syarikat (AS) memuji kerajaan negeri kerana berjaya membawa pembangunan yang seimbang kepada rakyat Sarawak baik di bandar mahupun luar bandar.

Delegasi Majlis Pimpinan Politik Muda AS atau American Council of Young Political Leaders (ACYPL) itu diketuai Naib Presiden Bahagian Perhubungan dan Luaran Kerajaan Matt Summy.

Matt berkata, beliau kagum dengan pembangunan yang dikecapi oleh Sarawak hasil komitmen kerajaan yang stabil dan berpandangan jauh.

“Sebaik sahaja tiba di sini (Sarawak), saya menyaksikan banyak pembangunan yang dikecapi oleh rakyat di negeri ini yang pastinya memberi kesan baik untuk pembangunan ekonomi rakyat di sini.

“Malah, kerajaan Sarawak telah mengambil langkah baik dengan membangunkan kawasan luar bandar bagi memastikan rakyat pedalaman mempunyai sumber pendapatan. Ini sekali gus mengelak mereka berpindah dari kampung halaman dan pastinya dapat mengekalkan adat dan budaya mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini, semalam.

Menjelas mengenai ACYPL, Matt berkata, ia adalah sebuah organisasi bukan berteraskan keuntungan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta dianggotai pemimpin politik dan pembuat dasar.

Menurutnya, ia bertujuan menggalakkan persefahaman bersama, hormat-menghormati, persahabatan dan memupuk hubungan yang berkekalan di kalangan generasi muda yang bersedia menjadi pemimpin global dan pembuat dasar masa hadapan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Wisconsin Mandela Barnes berkata, Sarawak mempunyai landskap yang cantik dan keunikan masyarakatnya yang berbilang kaum.

“Kuching merupakan bandar yang bersih dan ia pastinya memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk berkunjung di sini,” tambahnya.

Lima lagi delegasi itu dibarisi oleh Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan eFedSystems Corporation Nicolee Ambrose, Ahli Senat Negeri Oklahoma Nathan Dahm, Ketua Kakitangan Pejabat Naib Presiden Senat Kansas Katie Koupal, Presiden Schale Comunications Steve Schale dan Penganasilis Perhubungan Kerajaan dan Polisi Awam Google Inc Sarah Fisher.

Delegasi itu melawat Malaysia dari 13 hingga 20 Disember ini sekali gus mengunjungi beberapa tempat menarik di sini.