Polis tahan suspek dalam kes bunuh penunggang motosikal

3

KUCHING: Polis kelmarin menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes bunuh seorang penunggang motosikal pada awal pagi 12 Disember lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah kereta jenis Toyota Hilux di Jalan Lapangan Terbang Baru sekitar jam 9.30 malam kelmarin.

Ekoran penahanan tersebut, mahkamah semalam telah meluluskan permohonan tahanan reman selama lima hari terhadap suspek sehingga 18 Disember ini untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek dipercayai ditahan hasil daripada pengecaman nombor pendaftaran kereta yang digunakan suspek semasa insiden tersebut berlaku sekitar jam 1 pagi di Kenyalang Park, di sini pada Rabu lepas.

Dalam insiden tersebut, suspek yang memandu sebuah kereta terdahulu dipercayai melanggar motosikal yang ditunggangi mangsa iaitu Mohd Ilfan Daud berusia 25 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumah rakannya di Tabuan Foochow.

Berpunca daripada kemalangan tersebut, dikatakan berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa sebelum suspek bertindak menikam leher mangsa sehingga membawa kepada kematian.

Suspek selepas itu terus melarikan diri dari tempat kejadian, namun saudara mangsa yang turut berada di tempat kejadian sempat mencatat nombor kereta yang digunakan suspek.

Hasil siasatan awal pihak polis kemudian berjaya menjejaki suspek dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas insiden tersebut dilaporkan berlaku.

Pihak polis turut menemui sarung senjata yang dipercayai kerambit (taji) di tempat kejadian.